TQ Wuling kini di Malaysia; kerjasama Tan Chong, EV Wuling Bingo akan dilancar Q4 2025, bawah RM100k

TQ Wuling kini di Malaysia; kerjasama Tan Chong, EV Wuling Bingo akan dilancar Q4 2025, bawah RM100k

Tan Chong Motor Holdings Berhad bersama SAIC GM Wuling Automobile Co Ltd (SGM Wuling) hari ini mengumumkan kerjasama bagi mewujudkan entiti bagi membawa satu lagi jenama automotif China ke Malaysia iaitu TQ Wuling (atau hanya dikenali sebagai Wuling di China).

“TQ” atau “Truckquip” merupakan jenama Tan Chong sendiri yang sebelum ini digunakan pada model-model bas dan kenderaan perdagangan ringan di Vietnam. Jadi ini kali pertama jenama TQ berkenaan digunakan pada kenderaan penumpang biasa, dan jenama ini juga turut bermaksud ‘total quality’.

Perkongsian strategik ini telah dimeterai secara rasmi oleh Kumpulan Tan Chong Motor Group yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Daniel Ho, dan SGM Wuling yang diwakili oleh Tang Wensheng, Presiden PT SGMW Motor Indonesia serta Sun Dazhi, Pengarah Komersial, Bahagian Perniagaan Luar Negara dan Pusat Kejuruteraan, SGMW. Majlis yang dibuat di fasiliti pemasangan Tan Chong Motor Assemblies Segambut turut disaksikan oleh Menteri Pengangkutan YB Anthony Loke Siew Fook.

TQ Wuling kini di Malaysia; kerjasama Tan Chong, EV Wuling Bingo akan dilancar Q4 2025, bawah RM100k

Kerjasama ini bukan sahaja menyaksikan TQ Wuling akan menjual kenderaan jenama tersebut di Malaysia, malah turut akan menjalankan operasi pemasangan tempatan (CKD) dan juga mengeksport kenderaan keluar dari Malaysia. Model pertama yang akan dilancarkan di sini adalah EV kompak TQ Wuling Bingo CKD yang akan dipasang di Segambut, dan bakal dijual pada harga di bawah RM100,000 pada suku ke empat tahun ini.

“Pendekatan ini mengukuhkan komitmen Tan Chong Motor Group terhadap lokalisasi menerusi penggunaan komponen yang diperoleh dari pembekal tempatan, sekali gus meningkatkan kecekapan rantaian bekalan dan mengurangkan kos pengeluaran,” kata syarikat tersebut dalam kenyataan media yang dikeluarkan.

“TQ Wuling mencerminkan komitmen kami terhadap inovasi dan kelestarian dalam menyediakan penyelesaian mobiliti berkualiti yang boleh diakses oleh seluruh rakyat Malaysia. Kerjasama kami dengan SGM Wuling merupakan satu langkah penting dalam mengembangkan kehadiran TQ Wuling di pasaran tempatan. Di samping menyumbang kepada ekonomi negara melalui pengeluaran kenderaan secara tempatan di Malaysia. Matlamat kami adalah untuk meletakkan jenama TQ Wuling sebagai pilihan utama bagi pemandu di bandar yang mementingkan nilai terbaik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Tan Chong Motor Group, Daniel Ho.

TQ Wuling kini di Malaysia; kerjasama Tan Chong, EV Wuling Bingo akan dilancar Q4 2025, bawah RM100k

“SGM Wuling sentiasa komited dalam menghasilkan kenderaan yang berkualiti tinggi, praktikal dan mampu milik. Kerjasama ini membolehkan kami membawa teknologi EV ke Malaysia dengan yakin. Memanfaatkan kepakaran kami dalam bidang EV, digabungkan pula dengan kehadiran pasaran Tan Chong Motor Group yang kukuh serta keupayaan pengilangannya, kami teruja untuk menyokong peralihan mobiliti hijau di Malaysia dan menawarkan penyelesaian pemanduan lestari kepada pengguna tempatan,” kata Presiden PT SGMW Motor Indonesia, Tang Wensheng pula.

“Rantau ASEAN merupakan pasaran utama dalam pelan strategik keseluruhan SGM Wuling, dengan tumpuan khusus di Indonesia, Thailand dan Malaysia,” tambah beliau.

Wuling Bingo EV telah diperkenalkan di China pada April 2023. Ia dihasilkan dengan dimensi panjang 3,950 mm, lebar 1,708 mm, tinggi 1,580 mm dan jarak roda sejauh 2,560 mm.

Di China Bingo EV dalam versi varian asas paling murah dibekalkan dengan bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 17.3 kWh, memberi jarak gerak sehingga 203 km mengikut standard CLTC. Kuasa dihantar kepada motor elektrik pada gandar hadapan dengan kuasa sehingga 41 PS (40 hp atau 30 kW) dan tork 110 Nm, memberikan kelajuan maksimum 100 km/j.

Ia juga hadir dengan varian yang diberikan bateri LFP lebih besar berkapasiti 31.9 kWj, mampu memberi jarak gerak sejauh 333 km, serta diberikan motor elektrik lebih berkuasa pada kadar 68 PS/150 Nm, tetapi masih menampilkan kelajuan maksima yang sama.

Sementara varian paling tinggi menerima bateri LFP berkapasiti 37.9 kWj bagi memberikan jarak gerak 410 km, dengan padanan motor elektrik 68 PS/150 Nm yang sama, serta kelajuan maksima juga masih sama.

TQ Wuling kini di Malaysia; kerjasama Tan Chong, EV Wuling Bingo akan dilancar Q4 2025, bawah RM100k

Untuk pengecasan, kesemua versi boleh menerima pengecas AC sehingga 3.3 kW, dengan bateri yang lebih kecil memerlukan masa 5.5 jam untuk penuh, manakala bateri yang besar mengambil 9.5 jam. Walaubagaimanapun, bateri yang lebih besar itu boleh dicas dengan sumber DC, dan boleh naik dari kadar 20% ke 80% dalam masa 35 minit sahaja.

Antara kelengkapan yang diberikan pada Bingo EV ini termasuk rim 15 inci, lampu utama dan lampu belakang LED, tempat duduk balutan kulit sintetik, dua skrin 10.25 inci, tempat duduk pemandu larasan kuasa, dua beg udara, ABS, EBD, brek parkir elektronik, ESC, kamera undur, sistem pemerhati tekanan angin tayar, sistem tanpa kunci, cruise control dan pendingin hawa automatik.

Model ini turut telah dilancarkan di Indonesia pada Disember tahun yang sama, tetapi dikenali sebagai Wuling Binguo EV di sana. Turut dipasang di Indonesia, Wuling Binguo EV ini dijual pada harga bermula 317 juta rupiah (RM81k) untuk varian asas Long Range sehingga 372 juta rupiah (RM95k) untuk varian tertinggi Premium Range.

Sekiranya dipasarkan di Malaysia kelak, TQ Wuling Bingo EV ini bakal menerima saingan dari EV pertama Perodua yang turut dijadual dilancarkan pada Disember tahun ini. Dengan anggaran jarak gerak dianggar sekitar 400 km, dan akan dijual pada harga sekitar RM80k, tetapi bateri hanya ditawarkan dalam skim pajakan/sewaan.

Malah Proton juga dijangka akan mengeluarkan EV dalam segmen sama, di mana model yang dijangka akan dikenali sebagai eMas 5 berkenaan akan membuat kemunculan sulungnya pada Malaysia Autoshow 2025 minggu ini. Model itu akan diasaskan dari Geely Star Wish, di mana varian paling tinggi digerakkan oleh motor elektrik 116 PS/150 Nm, dengan bateri LFP sehingga 40.16 kWj, dengan jarak gerak 410 km.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required