Jaeoo Malaysia memperkenalkan Program Affiliate Profesional (PAP) yang mensasarkan ‘ahli badan profesional dan pekerja syarikat berdaftar’. Manfaat yang diberi adalah mudah, iaitu diskaun dan kelayakannya adalah lebih luas berbanding apa yang digambarkan melalui namanya.
“Atas maklum balas positif dan permintaan yang diterima daripada pihak korporat dan profesional, Jaecoo Malaysia dengan suka citanya memperkenalkan Program Affiliate Profesional. Ini adalah satu langkah ke hadapan dalam usaha kami untuk menaikkan lagi jenama dan mendekati peminat serta pelanggan,” kata timbalan presiden Jaecoo Malaysia, Emily Lek.
Buat masa ini, diskaun diberikan untuk model Jaecoo J7 AWD, 2WD dan PHEV. PAP terbuka untuk semua individu yang menjadi ahli badan profesional dan persatuan, servis kewangan dan insurans, badan korporat juga pencipta kandungan yang diiktiraf sebagai duta jenama Jaecoo.
Jika termasuk dalam golongan yang disebutkan tadi, anda boleh pergi ke mana-mana pusat pameran Jaecoo dalam negara dan tunjukkan bukti kelayakan serta dokumen seperti tanda keahlian dengan badan profesional atau bukti pekerjaan. Manfaat program ini juga dapat diguna pada ahli keluarga terdekat mereka yang layak.
Kedua-dua varian AWD dan 2WD J7 datang dengan enjin empat silinder 1.6 liter 194 hp/290 Nm, yang dipadankan bersama transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan. Versi PHEV yang dilancarkan Februari lalu pula menggunakan enjin empat silinder 1.5 liter bersama motor elektrik untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 347 PS/525 Nm. Dengan bateri LFP Blade, 18.3 kWh, ia boleh memberikan jarak gerak elektrik 106 km (NEDC) dan jarak gerak keseluruhan sehingga 1,300 km.
Harga jualan J7 PHEV adalah RM158,800 tidak termasuk insurans, iaitu RM10k lebih berbanding J7 AWD petrol. Versi 2WD pula adalah RM10k lebih murah.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.