Projek East Coast Rail Link (ECRL) kini telah mencapai kadar siap keseluruhan 82.45% setakat April, jelas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Beliau menjelaskan, pemasangan landasan meliputi 400 km bagi laluan utama dari Maran, Pahang ke Kota Bharu, Kelantan telah siap sepenuhnya dan setengah bulan lebih awal berbanding jadual asal, lapor The Star.
“Untuk itu, pemasangan landasan bagi 100 km berikutnya dari Maran ke Bentong, Pahang akan dimulakan bulan ini dan dijangka selesai pada hujung Jun 2025,” ujarnya. Beliau menambah, pembinaan stesen ECRL juga berjalan dengan sewajarnya dan dijangka akan siap sepenuhnya pada suku kedua 2026 nanti, untuk membolehkan fasa operasi percumaan projek ini dimulakan.
“Selain itu, keseluruhannya ada 11 tren EMU enam-gerabak yang dikeluarkan oleh CRRC Dalian telah diperuntukkan untuk operasi ECRL, dan yang pertama dijangka akan tiba di negara ini pada hujung tahun ini nanti,” tambahnya.
Tren EMU ini akan beroperasi pada kelajuan maksimum 160 km/j dan memerlukan masa hanya empat jam perjalanan dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak sebaik sahaja servis komersialnya bermula pada Januari 2027. “Bersamaan dengan itu, projek ini juga memperuntukkan 12 set E-Loco daripada CRRC Dalian untuk pengangkutan kargo, dengan set pertama dijangka tiba hujung tahun ini,” tambahnya.
Loke juga mengumumkan yang operasi ECRL telah dimulakan untuk meninjau aspek operasi dan penyelenggaraan (O&M) projek ECRL ini. Penubuhan entiti baru ini adalah selari dengan rancangan kerajaan untuk memperkukuh sektor keretapi negara dengan memperluas perkhidmatannya dan mencipta peluang pekerjaan.
Beliau menambah, sekitar 1,800 pekerja akan diperlukan sebaik sahaja fasa operasi ECRL bermula pada awal 2027 nanti. “Dengan operasi dijangka dimulakan tidak lama lagi, fasa O&M adalah sangat penting. Kita perlu pastikan yang projek ini dikendalikan oleh tenaga kerja tempatan yang tidak hanya berkemahiran tinggi, tetapi juga mahir dalam pengendalian keretapi moden,” ujarnya.
Projek usahasama 50:50 antara Malaysia Rail Link (MRL) dan China Communications Construction (CCCC) ini diumumkan pada 2016. Ia kemudiannya dibatalkan pada 2018 sebelum disambung semula tahun berikutnya dengan pertukaran jajaran yang terlibat.
Laluan sepanjang 665 km yang menghubungkan Kota Bharu dan Pelabuhan Klang ini akan mempunyai 59 terowong, dijangka akan memendekkan masa perjalanan kepada empat jam berbanding tujuh jam yang diperlukan untuk jalan raya biasa, atau lebih 12 jam pada musim perayaan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.