Sempena dengan perayaan Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut bulan hadapan, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal menyediakan tren khas Ekspres Lambaian Aidiladha ke Pantai Timur yang akan beroperasi dengan dua perkhidmatan bagi memenuhi keperluan rakyat pulang ke kampung.
“Tiket akan dijual bermula jam 10 pagi esok (8 Mei). Sepanjang tempoh perkhidmatan tren khas ini, sebanyak 436 tiket ditawarkan bagi setiap perjalanan menjadikan jumlah keseluruhan 872 tiket.
“Perkhidmatan ini menawarkan tambang sehala bermula RM80 hingga RM95 dengan pilihan koc tempat duduk kelas premier, koc tempat duduk kelas superior, koc tempat tidur kelas superior dan kemudahan koc chillax serta koc cafe,” kata KTMB menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
KTMB turut memaklumkan tren khas berkenaan akan memulakan perjalanan jam 11 malam pada 5 Jun dari KL Sentral menuju ke Tumpat, Kelantan dan jam 10.45 malam pada 8 Jun dari Tumpat ke KL Sentral. Tren akan berhenti di 16 stesen iaitu Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat.
“KTMB akan terus mendukung inisiatif kerajaan memperluas pilihan pengangkutan awam dengan menyediakan tren khas bagi membantu mengurangkan kesesakan di laluan Pantai Timur yang lazimnya padat setiap musim perayaan, sekaligus memudahkan rakyat pulang beraya bersama keluarga dengan selesa dan selamat.
“Perkhidmatan khas ini juga dilihat turut memberi peluang kepada pelancong yang berhasrat mengunjungi lokasi pelancongan di Pantai Timur. Selain itu, pengguna dinasihatkan tiba lebih awal di stesen bagi melancarkan proses pemeriksaan keselamatan dan dokumentasi di pintu masuk,” kata KTMB lagi.
Tiket boleh didapati melalui aplikasi KTM Mobile (KITS), laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my atau di mesin kios KTMB.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.