Volkswagen Golf GTI Black Edition diperkenal di Malaysia; lebih ‘gelap’, ada dashcam, bermula RM245k

Volkswagen Golf GTI Black Edition diperkenal di Malaysia; lebih ‘gelap’, ada dashcam, bermula RM245k

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telahpun memperkenalkan hot-hatch edisi terhad Volkswagen Golf GTI Black Edition untuk pasaran tempatan, dan model ini akan membuat kemunculan sulungnya di Malaysia Autoshow 2025 yang akan berlangsung minggu ini. Berbanding model standard, Black Edition ini menampilkan beberapa aksesori tambahan bersama beberapa perincian penggayaan dengan tema lebih ‘gelap’.

Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM247,512 dengan pakej asas waranti selama dua-tahun. Sekiranya anda mahukan perlindungan lebih menyeluruh dengan Volkswagen Assurance Package (VAP) yang memberikan perlindungan waranti selama lima-tahun serta pakej servis yang kini panjangkan sehingga tujuh-tahun, ia ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insuran RM260,012.

Oleh itu harga untuk Golf GTI Black Edition ini adalah RM6,000 lebih mahal dari Golf GTI Mk8 biasa. Walau bagaimanapun VPCM kini bermurah hati untuk menawarkan diskaun pengenalan bernilai RM15,000, menjadikan harga atas jalan tanpa insuran Golf GTI Black Edition ini turun kepada RM 245,012.

GTI Black Edition ini hadir hanya dengan dua warna badan iaitu Kings Red atau Deep Black. Kemudian cermin-cermin tingkap dilapisi filem penapis cahaya berwarna hitam (tetapi masih memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan), dan plat ‘Black’ ditampal pada perapi tiang-B.

Imej gelap Golf GTI Black Edition ini turut ditambah menerusi kemasan hitam pada set rim “Richmond” 18-inci yang turut dihiasi penutup tengah “GTI” yang sentiasa dalam keadaan mendatar walaupun roda berpusing, serta penutup injap angin juga dengan logo GTI.

Manakala pada bahagian dalaman, Golf Black Edition ini menerima set karpet istimewa dan juga dashcam asli Volkswagen yang digelar sebagai Volkswagen Universal Traffic Recorder 2.0 pada bahagian hadapan dan belakang. Dashcam berkenaan menampilkan penderia imej pandangan malam Sony Starvis yang didakwa mampu memberikan video QHD pada kelajuan tinggi walaupun dalam keadaan gelap, bersama hubungan Wifi 5 GHz dual-band yang membolehkan proses muat turun dibuat lebih cepat.

Satu lagi perincian yang diberikan pada Golf istimewa ini adalah pembahagian kargo pada bahagian but belakang, yang lengkap dengan pelekat velcro untuk memastikan ia tidak bergerak dan masih boleh dicabut dengan mudah. Untuk lebih istimewa, pemilik turut akan diberikan pemegang kunci Volkswagen serta sijil pengesahan keaslian bagi membuktikan ia adalah Golf Black Edition yang sah dari kilang.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required