Volvo mengumumkan, XC70 menjadi model plug-in hybrid extended-range (RE-PHEV) pertama mereka. Direka untuk memenuhi permintaan kenderaan plug-in hybrid dengan jarak gerak lebih jauh di China, XC70 ini dibina atas platform Scalable Modular Architecture (SMA) syarikat itu dan dikatakan dapat memberi jarak gerak elektrik sehingga 200 km mengikut standard ujian CLTC.
Perincian sebenar masih belum didedah tetapi RE-PHEV memberi petunjuk bahawa motor elektrik yang mendapat kuasa daripada bateri akan menggerakkan roda hadapan, sementara range extender, yang merupakan enjin pembakaran dalaman akan mula beroperasi apabila tahap bateri turun ke jumlah tertentu. Antara contoh kenderaan yang menggunakan sistem ini adalah Mazda MX-30 R-EV.
“Dengan jarak gerak elektrik lebih jauh dan kemampuan mengecas pantas, XC70 membenarkan anda untuk berhadapan dengan perjalanan harian tanpa emisi ekzos dan kos rendah, sementara enjin pembakaran dalaman yang cekap memberi fleksibiliti untuk perjalanan lebih jauh. Ini bermakna, anda boleh bergerak lebih jauh tanpa perlu risau berkenaan mengecas atau mengisi minyak,” kata Volvo dalam siaran akhbarnya.
Nama XC70 ini bukanlah baru bagi Volvo, dan sebelum ini ia pernah digunakan untuk V70 generasi kedua versi Cross Country (dipanggil sebagai V70 XC) bagi menjadikan ia sama sepeti XC90 pada awal tahun 2000. Model kelahiran semula ini nampaknya meneruskan legasi tersebut dan dipanggil sebagai sebuah “kereta keluarga serba boleh, sedia untuk bermacam pengembaraan.”
Nampak seperti sedikit lebih tinggi dan lebih luas berbanding XC60, XC70 baru ini menampilkan elemen rekaan yang digunakan model Volvo terbaru seperti EX90 dan XC90 facelift. Pada bahagian hadapan terdapat lampu DRL Thor’s Hammer, sementara berasingan di bawahnya terdapat lampu utama dengan teknologi LED matriks. Bahagian belakang menggunakan pencahayaan lampu berbentuk C, sementara lencana ‘AWD’ memberi petunjuk akan terdapat versi pacuan semua roda.
“XC70 menjadi petanda kemasukan strategik kami ke dalam segmen plug-in hybrid extended range, satu penghubung sempurna ke arah elektrifikasi penuh. Ia membenarkan kami untuk kekal membangunkan portfolio produk yang seimbang, sambil menawarkan alternatif menarik kepada pelanggan yang masih belum bersedia untuk kereta elektrik penuh,” kata presiden dan CEO Volvo Cars. Informasi lanjut berkenaan XC70 akan didedahkan dalam masa beberapa bulan akan datang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.