Malaysia Autoshow 2025 yang berlangsung hujung minggu ini bakal menampilkan pelbagai model baru dan yang akan datang untuk pasaran tempatan. BMW misalnya memperkenalkan model BWM 330Li M Sport. Ia versi facelift yang sama dengan G20 3 Series yang diperkenalkan Januari lalu, tetapi diberikan tambahan pilihan naik taraf tersendiri.
Model ini dijual dengan harga RM320,800 atas jalan belum termasuk insurans. Sebagai perbezaan, model sebelum ini dijual dengan harga RM314,800, dengan jaminan standard dua-tahun, tanpa had perbatuan. Jika dipilih dengan pilihan jaminan lima-tahun dan pakej servis (yang dilanjutkan setahun hingga 31 Mei, menjadikan enam tahun semuanya), harganya ialah RM347,200.
Perubahan yang terlibat pula tidak terlalu banyak. Paling utama ialah adanya ciri kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, walaupun ciri autonomous Tahap 2 dengan bantuan ke tengah lorong masih belum tersedia untuk pemilik di Malaysia. Ini terdiri daripada ciri AEB, bantuan mengekalkan lorong, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik di belakang, amaran perlanggaran belakang, pengesan papan tanda trafik dan lampu tinggi automatik.
Selain itu ada juga tambahan sistem kamera 360-darjah (dengan paparan 3D jarak jauh melalui aplikasi My BMW) bagi Parking Assistant Plus yang menggantikan kamera undur. Ia juga datang dengan sistem audio Harman Kardon 464-watt dengan 16-pembesar suara (naik daripada 10-pembesar suara dan Hi-Fi 205-watt).
Selebihnya semua kekal sama, dengan adanya pakej BMW Live Cockpit Professional yang terdiri daripada paparan skrin lebar melengkung, dengan kluster instrumen digital 12.3-inci dan skrin sentuh 14.9-inci untuk infotainmen, serta head-up display. Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar juga tersedia, begitu juga dengan pengecas tanpa wayar Qi.
Kelengkapan lain yang ada termasuk stereng rata di bawah serta kerusi sport dengan memori untuk pemandu, dalam balutan kulit Vernasca serta papan pemuka balutan kulit buatan Sensatec. Kemasan warna grafite gelap serta galvanic silver untuk suis gear dikekalkan, dengan kini disertakan tombol iDrive kristal CraftedClarity, butang penghidup enjin dan pemilih gear.
Ciri lain yang masih sama adalah bodykit M Sport, rim 18-inci jejari berkembar Style 848 M, sistem tanpa kunci, kawalan pendingin tiga zon, bumbung panormik kaca, lampu ambient dan cermin anti silau. 330Li M Sport ditawarkan dalam pilihan warna Carbon Black, M Brooklyn Grey atau Arctic Race Blue, dengan ruang dalaman kemasan warna mocha atau cognac.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.