Chery Tiggo 7 baru sahaja dilancarkan pada pasaran tempatan pada Jun tahun lalu. Namun ketika berlangsungnya Malaysia Autoshow (MAS) 2025 di mana hari media bermula hari ini, Chery Malaysia telahpun menayangkan facelift terbaharu untuk SUV segmen-C ini. Dan apa yang paling penting, model yang dipamerkan ini merupakan varian yang dijana oleh unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) dari siri generasi baharu Chery Super Hybrid (CSH), yang baru sahaja dilancarkan untuk peringkat global di Auto Shanghai 2025 bulan lalu.
Oleh itu Tiggo 7 PHEV ini menerima sistem CSH terbaharu yang menampilkan enjin petrol kitaran Miller 1.5 liter turbo baharu dengan sistem suntikan bahan api terus yang dibina khas untuk digandingkan bersama sistem hibrid, menampilkan keberkesanan suhu mencecah 44.5%.
Enjin ini mampu menghasilkan kuasa 154 hp dan tork maksima 220 Nm. Ia digandingkan dengan transmisi khas hibird DHT tiga-kelajuan dan juga dua motor elektrik dengan kuasa 201 hp dan tork 310 Nm, yang menerima tenaga elektrik dari bateri LFP 18.3 kWj. Berdasarkan spesifikasi yang ditunjuk oleh Chery Malaysia hari ini, Tiggo 7 PHEV pasaran tempatan ini dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 347 PS dan tork maksima 525 Nm, memacu sepenuhnya roda hadapan.
Dengan sistem PHEV bermakna bateri yang dibekalkan boleh dicas semula seperti EV sebenar. Ia boleh menerima cas dari Wallbox AC (tidak dinyatakan kapasiti) di mana bateri boleh dipenuhkan dalam masa tiga jam. Manakala dengan sistem pengecas pantas DC, kuasa dari 30% hingga 80% boleh dipenuhkan dalam masa 19 minit. Sistem ini turut boleh menerima cas dari plag tiga-pin biasa, di mana ia memerlukan masa selama 8.5 jam untuk memenuhkan cas bateri tersebut.
Dengan satu tangki petrol penuh berkapasiti 60 liter, Tiggo 7 PHEV ini didakwa boleh bergerak lebih dari 1,200 km dalam kitaran ujian WLTP. Manakala dengan satu cas bateri penuh, ia boleh bergerak sejauh 95 km tanpa enjin petrol dihidupkan langsung. Sekiranya kadar cas bateri berada pada tahap 25%-100%, penggunaan bahan api yang dicatatkan adalah pada 1.3L/100 km, manakala dengan kadar cas bateri rendah iaitu di bawah 25%, penggunaan bahan api masih boleh mencapai 4.9L/100 km.
Berbanding versi sedia ada yang kini sedang dijual di Malaysia, Tiggo 7 facelift ini menampilkan lampu hadapan dan juga gril yang kurang bersegi, bersama grafik LED lampu nyalaan siang berbentuk-L berkembar serta bentuk projektor yang berlainan, dan tiada lagi kemasan krom di bawah lampu yang bersambung dengan gril. Ini menyebabkan rupa Tiggo 7 facelift ini lebih mirip seperti abangnya iaitu Tiggo 8.
Dan untuk varian PHEV ini, gril hadapannya dilapisi permukaan lutsinar yang rata bersama logo Chery yang tenggelam. Bampar hadapan yang dipadankan juga berbeza di mana bahagian kemasan hitam dibuat lebih besar, bahagian berjalur dikurangkan, serta diberikan lampu kabus bulat pada sisi bawah bampar berkenaan.
Perubahan besar turut boleh dilihat pada sebelah belakang di mana ia diberikan lampu berbeza yang nampak lebih bersegi, lebih nipis serta menampilkan lensa jenis jernih bagi menonjolkan grafik LED di dalamnya. Lampu berkenaan masih dihubungkan di kiri dan kanan menerusi satu bar lampu merentangi sepenuhnya pintu tailgate, namun ia kini lebih tebal.
Perumah nombor pendaftaran juga telah dialihkan lebih tinggi dari bahagian bampar ke pintu tailgate menyebabkan rupa belakang Tiggo 7 facelift ini berbeza terus dari model yang ada di bilik pameran sekarang. Juga reflektor merah yang sebelum ini melintang di bawah bampar kini sudah berada dalam keadaan ‘berdiri’ pada setiap sisi bampar dengan perumah direka seakan liang udara. Model PHEV ini juga tidak menampilkan tip ekzos pada bampar, berbanding model petrol penuh di Malaysia yang diberikan dua perumah tip berkenaan.
Chery Malaysia turut telah menyenaraikan kelengkapan yang akan diberikan pada Tiggo 7 PHEV CSH pasaran tempatan. Pada sebelah luar ia menerima lampu hadapan LED automatik dengan fungsi selamat datang dan follow-me-home, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, lampu kabus hadapan dan belakang, lampu isyarat membelok jenis sequential, rel bumbung, pengelap cermin automatik, bumbung panaromik, pintu tailgate bantuan kuasa dan juga rim aloi 18-inci dengan tayar 225/60R18.
Pada sebelah dalam, Tiggo 7 ini masih menampilkan papan pemuka dengan skrin infotainmen utama dan juga skrin paparan instrumen yang bersambung ala-Mercedes-Benz, dan juga suis-suis kawalan fizikal terletak di bawah liang udara tengah. Roda stereng pula diperkemas dengan pemadanan suis seperti pad bagi menggantikan suis-suis biasa sebelum ini, serta tuil kawalan dengan lebih banyak perincian krom serta direka lebih besar dan tidak bulat yang memberikan lebih nampak seperti Mercedes-Benz.
Konsol tengah masih nampak sama, tetapi tuil gear yang direka leper sebelum ini telah diganti dengan tombol gear dengan bentuk lebih konvensional namun diperbuat dari kristal. Perincian-perincian lain nampak masih sama dengan kawalan larasan tempat duduk depan diletak pada pintu bersama rekaan lain seperti penutup pembesar suara dan suis tingkap semuanya diinspirasikan dari Mercedes-Benz, manakala kemasan-kemasan brushed aluminium telah ditukar kepada gentian karbon palsu yang lebih nampak seperti Mercedes-AMG.
Model pasaran Malaysia ini akan menerima kelengkapan seperti paparan instrumen digital dan juga sistem infotainmen dengan masing-masing menampilkan skrin 12.3-inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, kamera panaromik 540 darjah dan sistem bunyi premium Sony dengan lapan-pembesar suara.
Ia juga menampilkan roda stereng dan upholsteri tempat duduk kulit sintetik, sistem kunci pintar dengan penghidup enjin jarak jauh dan kunci automatik walk away, penghawa dingin automatik dua zon dengan liang kabin belakang dan penapis udara N95, kemasan bendul pintu bernyala, pengecas telefon pintar tanpa wayar 50W dan juga lampu suasana kabin.
Untuk keselamatan asas, Tiggo 7 PHEV pasaran Malaysia ini dilengkapi lapan-beg udara, bantuan mula mendaki dan kawalan menurun cerun, pemantau tekanan angin tayar, dashcam dan pelbagai lagi. Ia juga diberikan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang meliputi fungsi brek kecemasan automatik dengan amaran pelanggaran hadapan dan belakang, sistem pemantau pemandu, amaran buka pintu, amaran lintasan trafik belakang bersama bantuan brek automatik.
Cruise control pula diberikan sistem adaptif dan bersepadu, dibantu dengan fungsi lain seperti amaran keluar laluan, bantuan tukar lorong, pengelak keluar lorong, pengekal lorong kecemasan, bantuan kesesakan trafik dan lain-lain.
Walaupun rupa model ini telah didedahkan sepenuhnya dan spesifikasi yang diumumkan hampir lengkap, Chery Malaysia masih belum mengumumkan sebarang maklumat berkenaan harga anggaran bagi model ini. Buat masa sekarang Chery Tiggo 8 Pro dengan enjin 1.6L Turbo sedia ada dijual pada harga atas jalan RM123,000. Tarikh pelancaran juga masih belum diumum, tetapi ia disahkan akan dibuat pada separa kedua 2025.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.