Susulan pratonton GAC M8 PHEV di Malaysia pada hujung tahun lalu, kini tempahan untuk MPV plug-in hybrid berkenaan pula dibuka kepada umum, dengan harga anggaran bermula RM333,000. Perkara ini dimaklumkan oleh pengedarnya, Warisan Tan Chong Automotif.
Model ini ditawarkan dalam dua varian, seperti yang sudah diumumkan sebelum ini — Premium dan Premium Luxury. Dengan ukuran 5,212 mm panjang, 1,893 mm lebar dan 1,823 mm tinggi dan jarak roda 3,070 mm, saiz GAC M8 lebih besar daripada Toyota Alphard dan Vellfire, dan hampir menyamai saiz Zeekr 009 dan Denza D9.
Menerima jolokan sebagai MPV plug-in hybrid pertama untuk pasaran Malaysia, M8 dilengkapi enjin 2.0 liter turbo empat-silinder petrol dan menghasilkan 190 PS dan 300 Nm. Ini dipadankan dengan sebuah motor elektrik yang menjana sebanyak 182 PS/300 Nm yang menerima kuasa daripada bateri 25.57 kWh, dengan menggunakan transmisi khusus dua-kelajuan hibrid untuk memberikan output keseluruhan 373 PS dan 630 Nm. Pecutan 0-100 km/j pula berada dicapai dalam masa 8.8 saat.
Dari sudut kecekapan, M8 PHEV mampu memberikan penggunaan petrol 6.05 liter per 100 km, dengan jarak yang mampu dicapai sejauh 1,032 km dengan satu tangki penuh 56 liter. Untuk pacuan elektrik sepenuhnya, ia boleh memberikan jarak 108 km. Untuk pengecasan AC, bateri 25.57 kWh memerlukan 3.5 jam, manakala dengan DC hanya memerlukan 30 minit.
Di dalam, M8 PHEV boleh menempatkan tujuh penumpang, termasuk dua kerusi kapten di barisan kedua yang lengkap dengan fungsi urutan, memori dan liang udara selain larasan kuasa, paparan lima-inci di perehat lengan serta paparan 15.6-inci di bumbung.
Di depan, ada paparan instrumen digital 12.3-inci dan skrin sentuh infotainmen 14.6-inci, dengan ouput audio melalui sistem bunyi Yamaha dengan 16-pembesar suara.
Bagi sistem bantuan pemandu, M8 PHEV dijangka akan dilengkapi dengan fungsi seperti AEB, ACC dengan Stop/Go, peninjau keliling, bantuan ke tengah lorong, pengesan papan tanda trafik, peninjau titik buta dengan penghindar pelanggaran, amaran lintasan trafik di belakang dengan auto brake, amara perlanggaran belakang dan penghindaran, serta bantuan parkir.
Ini juga termasuk fungsi ADAS Tahap 2, tetapi tidak akan menggunakan nama ADiGO Pilot kerana itu merujuk kepada fungsi ADAS 3 yang lebih tinggi.
Dengan tempahan yang kini mula dibuka, WTC Automotif menawarkan MPV plug-in hybrid ini dengan jaminan lima-tahun, 150,000 km untuk kenderaan, serta jaminan lapan-tahun atau 150,000 km untuk bateri. Tempahan awal juga akan menerima pakej kabel pengecas dan penyelenggaraan berjadual percuma. Pakej tempahan awal ini akan ditawarkan hingga M8 PHEV ini dilancarkan secara rasmi di Malaysia.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.