Jetour Malaysia sebelum ini pernah mendedahkan bakal membawa masuk lebih banyak model keluarannya ke pasaran tempatan selepas SUV Dashing dilancarkan pada awal April lalu. Hari ini, selain melancarkan satu lagi model SUV nya, VT9, Jetour Malaysia turut memperkenalkan SUV elektrik eVT5 menerusi acara Malaysia Autoshow 2025.
Terdahulu, SUV EV ini pernah dikesan diuji di Malaysia, namun tika itu kemunculannya sebagai Kaiyi X3 Pro EV. Untuk pengetahuan anda, Kaiyi merupakan salah satu jenama yang bernaung di bawah Chery. Namun kini jenama itu telah pun datang ke Malaysia dan dikenali sebagai Jetour.
eVT5 ini juga boleh dikatakan versi EV bagi Chery Tiggo Cross, dan ia mempunyai ukuran dimensi 4,443 mm panjang, 1,831 mm lebar, 1,653 mm tinggi dan jarak roda 2,632 mm serta jarak kelegaan tanah (ground clearance) cecah 183 mm. Walau bagaimana pun, eVT5 sebenarnya 125 mm lebih panjang berbanding Tiggo Cross, tetapi saiz ukuran lain lebih kurang sama.
SUV EV ini dilengkapi dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) CATL berkapasiti 53.6 kWh yang boleh memberikannya jarak gerak hingga 356 km mengikut kitaran NEDC, dan ia mampu mencapai status pengecasan antara 30-80% dalam masa 30 minit. Antara ciri pengendaliannya yang diberikan termasuklah motor 163 PS/280 Nm, sistem suspensi dengan topang MacPherson untuk hadapan dan multi-link di belakang, cakera brek ventilated di hadapan dan cakera solid untuk belakang dan roda aloi 18-inci yang dibaluti tayar Giti Comfort 215/55.
Untuk bahagian kabinnya, ia dilengkapi dengan unit paparan, upholstery kulit, skrin sesentuh LCD 10.25-inci, corong pendingin hawa untuk tempat duduk belakang, bumbung suria panoramik, kamera 360-darjah, penahan brek auto, kawalan kelajuan, panel pengecasan tanpa wayar dan enam beg udara.
Walau bagaimana pun, setakat ini Jetour Malaysia masih belum mendedahkan sebarang harga untuk eVT5 ini dan juga perincian lanjut mengenainya. Untuk pengetahuan anda, di pasaran global, selain versi elektrik, SUV ini yang diberikan nama berlainan juga ditawarkan dengan unit enjin pembakaran dalaman (ICE) dengan pilihan enjin 1.5 liter berkuasa 116 hp dan 1.5 liter turbo bersama hamburan kuasa 156 hp dan tork 230 Nm. Kedua-dua pilihan enjin ICE itu dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.