Bagi peminat SUV off-road, mungkin anda bakal tertarik dengan Jetour T2 ini. SUV off-road ini sedang dipertontonkan dalam acara Malaysia Autoshow 2025 yang berlangsung di MAEPS, Serdang. Dikhabarkan Jetour Malaysia merancang untuk melancarkannya ke pasaran tempatan tidak lama lagi. Malah seperti SUV Dashing dan VT9 yang sudah pun dilancarkan untuk pasaran Malaysia, T2 ini juga akan dipasang di sini (versi CKD).
Bagi unit yang dipamerkan ini, ia merupakan versi pemanduan sebelah kiri (LHD) dan paultan.org yang berkunjung ke Shanghai baru-baru ini juga berkesempatan melihat versi pemanduan sebelah kanan (RHD) yang lebih bertepatan untuk pasaran kita.
Selain itu, T2 yang dipertontonkan ini juga dipadankan dengan enjin yang sama dengan sama seperti Chery Tiggo 8 Pro iaitu 2.0 liter turbo dengan hamburan kuasa 254 PS dan tork 390 Nm dan dipadankan dengan kotak gear automatik klac-berkembar tujuh-kelajuan.
Untuk pasaran global, T2 juga diberikan pilihan enjin 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder dengan output 184 PS dan tork 290 Nm. Penjana kuasa ini turut dipadankan dengan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan. Bukan itu sahaja, ia juga ada versi plug-in hybrid dengan unit kuasa yang sama seperti Omoda C9 PHEV iaitu Super Hybrid System (SHS). Diberikan enjin 1.5 liter turbo berkuaasa 156 PS dan tork 220 Nm, digandingkan bersama motor elektrik 224 PS/390 Nm dan dedicated hybrid transmission (DHT) tiga-kelajuan, sekaligus menghasilkan output yang lebih padu berjumlah 381 PS dan tork 610 Nm. Ia juga diberikan bateri BYD Blade lithium iron phosphate (LFP) 43.2 kWh dan motor belakang pula menghasilkan sehingga 619 PS dan 700 Nm.
T2 ini memiliki ukuran dimensi 4,785 mm panjang, 1,880 mm tinggi, 2,006 mm lebar dan jarak roda 2,800 mm serta jarak kelegaan tanah (ground clearance) cecah 220 mm serta mampu meranduk air dengan kedalaman hingga 700 mm. Cukup sesuai karakternya untuk dilenjan pemanduan off-road.
Berkenaan harganya untuk pasaran, ia juga belum didedahkan. BWalau bagaimana pun, T2 di China yang dilancarkan pada April 2022 ditawarkan dengan harga antara $179,900 (RM108,584.14) hingga $209,900 yuan (RM126,691.56) dan bermula $1,046,100 baht (RM137,639.95) di negara jiran kita, Thailand. Jadi, kemungkinan harga T2 yang akan ditawarkan di Malaysia tidak begitu jauh bezanya seperti di Thailand. Mungkin. Apa pun, kena tunggu perkembangan selanjutnya dari Jetour Malaysia termasuk ciri kelengkapan penuh bagi versi tempatan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.