Selepas Jetour Dashing dilancarkan awal bulan lalu, kini tibalah pula giliran SUV VT9 untuk diperkenalkan di pasaran Malaysia. Ia ditawarkan dengan dua varian iaitu 1.5 TCI Comfort berharga RM119,350 dan RM124,350 untuk 1.5 TCI Prime, kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans.
SUV tujuh-tempat duduk segmen-D ini diberikan enjin yang sama dengan Chery Omoda 5 iaitu 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder dengan kuasa 156 PS pada 5,500 rpm dan tork 230 Nm pada 1,750 hingga 4,000 rpm dan digandingkan bersama transmisi automatik klac berkembar enam-kelajuan. Kedua-duanya diberikan dua mod pemanduan iaitu Eco dan Sport.
VT9 bersaiz 4,724 mm panjang, 1,900 mm lebar dan 1,720 mm tinggi, dengan jarak roda 2,720 mm dan jarak kelegaan tanah (ground clearance) cecah 144 mm. Ia juga mempunyai ruang storan berkapasiti 1,680 liter dan VT9 ini dijangka mampu memberikan pesaingan sengit buat Proton X90 dan Chery Tiggo 8 Pro di pasaran tempatan.
Bagi pengendaliannya, ia diberikan sistem suspensi dengan topang MacPherson untuk hadapan dan Multilink di belakang, manakala sistem brek pula dengan gandingan cakera ventilated di hadapan dan cakera solid untuk belakang.
Bagi imej luarannya, ia menampilkan rekaan rekaan hadapan JETOUR X-Face yang ikonik, dan kedua-dua varian menerima ciri standard termasuk lampu utama automatik LED berbentuk bujur dengan gril radiator bermotifkan bulu pelepah yang menggabungkan warisan budaya dengan sentuhan kontemporari yang canggih. Lain-lain pencahayaan luaran VT9 juga diberikan unit LED termasuk untuk lampu nyalaan siang (DRL), lampu brek, lampu isyarat membelok, dan lampu belakang lebar sepenuhnya.
Selain itu, ciri standard lain termasuk rim aloi saiz-19 yang dibaluti tayar 235/55 R19, tailgate elektrik, dua pasang paip ekzos berkembar (palsu), sedikit kemadan merah pada bahagian luaran, rel bumbung dan tingkap dengan kawalan jauh/Find My Car. Walau bagaimana pun, untuk model spesifikasi penuh Prime, ia menerima ciri tambahan seperti LED Welcome Light, bumbung suria panoramik dan bilah pengelap cermin hadapan dengan penderia hujan.
Untuk bahagian kabinnya pula, rekaan untuk papan pemuka ringkas namun diserlahkan dengan jaluran merah merentangi bahagian corong hadapan pendingin hawa. Kedua-dua varian VT9 dilengkapi dengan dalaman berwarna hitam, panel instrumen sentuhan lembut, skrin berkembar pintar LCD 10.25-inci, Apple CarPlay/Android Auto, skrin sesentuh dan arahan suaran untuk kawalan pendingin hawa, corong udara untuk tempat duduk belakang, roda stereng balutan kulit, penukar gear elektronik dan pedal penukar gear.
Ia juga diberikan penapis udara kabin CN95, soket kuasa 12V untuk hadapan dan but, pengecas tanpa wayar 50-wat, kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, tempat duduk balutan kulit dan bahagian pemandu dengan larasan kuasa enam-cara (bersama fungsi memori untuk varian tertinggi), enam pembesar suara untuk Prime dan empat unit bagi Comfort, dan pencahayaan ambien dengan warna tunggal biru.
Bagi aspek keselamatan dan bantuan pemandu, kedua-dua varian diberikan empat beg udara (sisi/hadapan untuk pemandu/penumpang hadapan), sistem kawalan kelajuan, kamera belakang dengan panduan parkir, bantuan parkir pandangan sekeliling 360-darjah, ABS dengan EBD, kawalan cengkaman, kawalan mula mendaki, dan cagak Isofix.
Walau bagaimana pun, varian Prime diberikan ciri tambahan iaitu dua unit lagi beg udara (bahagian tirai untuk pemandu), pemantauan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang, amaran membuka pintu dan amaran menukar lorong.
Di Malaysia, VT9 ditawarkan dengan lima pilihan warna luaran iaitu Tech Grey, Phantom Grey, Aurora Green, Star Black dan Khaki White. Sekali lagi, varian 1.5 TCI Comfort ditawarkan dengan harga RM119,350 dan model spesifikasi penuh 1.5 TCI Prime pula berharga RM124,350, kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans. Untuk 800 pembeli pertama VT9 ini, Jetour Malaysia menawarkan rebat tunai sebanyak RM2,000. Dan setiap pembeliannya didatangkan dengan waranti kenderaan selama tujuh-tahun/150,000 km, waranti enjin untuk 10-tahun/1,000,000 km dan lima kali servis percuma (untuk kos buruh dan alat ganti).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.