Sempena Malaysia Autoshow 2025, Perodua mempamerkan episod ketiga bagi model Electric Motion Online (e-MO), selepas mempamerkan model eMO-II di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) hujung tahun lalu.
Yang terbaru ini adalah “fasa” terakhir rekaan konsep bagi model EV pertama Perodua yang akan dilancarkan pada suku keempat tahun ini — minggu lalu, unit dengan pelekat samaran EV ini dilihat dalam talian. Sekali imbas, reka bentuknya memberi sesuatu yang berbeza misalnya jika dibandingkan dengan model-model EV lain dari China, seperti Geely Star Wish atau kembarnya Proton eMas 5, dan TQ Wuling Bingo.
Apa yang ditampilkan sebagai sebuah hatchback lima-pintu dengan eMO-II tahun lalu kini sudah berubah menjadi rekaan sebuah SUV crossover (ala Toyota C-HR?). Perodua menjelaskan, dengan EV ini, syarikat itu akan menghadirkan rekaan yang sporty dengan jarak kelegaan tanah yang tinggi.
Bagaimanapun belum ada sebarang perincian ukuran diberikan, namun Perodua menggelarnya sebuah kenderaan segmen “B kecil”. Di depan mata kasar, eMO ini nampak lebih besar berbanding Myvi dan nampak lebih besar daripada eMas 5 dan Bingo — semua EV ini akan dipasarkan dengan harga di bawah RM100k nanti, dan akan diperkenalkan sebagai model CKD.
Februari lalu, Presiden dan CEO Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad memberi gambaran yang harga permulaan EV nasional syarikat itu akan bermula dari harga RM80,000, tetapi tanpa bateri — Perodua kini mengesahkan yang EV berkenaan akan didatangkan dengan program pajakan bateri Battery-as-a-Service (BaaS), yang pertama kali ditawarkan di Malaysia.
Bateri yang maksudkan ialah unit lithium iron phosphate (LFP) daripada CATL, dengan jarak perjalanan antara 400 km hingga 410 km. Dari segi prestasi, pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa enam atau tujuh saat, dan laju maksimum 165 km/j.
“Baterinya akan dipajak kepada pembeli. Yuran “sewa” berkenaan pula sangat minimum, dan berdasaarkan kaji selidik yang dilakukan oleh Perodua, ramai yang menyukai kaedah ini,” ujar beliau, dengan menambah bahawa skim pajakan atau sewaan bateri EV ini akan mengurangkan kosnya dan memastikan pelanggan sentiasa mempunyai bateri yang berada dalam keadaan terbaik.
Bagaimana pula dengan nilai jualan semula? Inilah masalah yang cuba diatasi oleh Perodua dengan menawarkan skim pajakan bateri EV ini. Kerana keresahan terhadap jangka hayat bateri EV akan mempengaruhi nilai jualan semulanya, tidak seperti kereta ICE yang biasa.
Akan ada juga pilihan untuk membeli kereta ini sekali dengan baterinya. Beli bateri tersebut dan pelanggan akan menerima juga jaminan standard selama lapan-tahun untuknya. Praproduksi akan dimulakan pada September nanti dan Perodua sedang berada dalam landasan yang betul untuk memenuhi tarikh pengenalan EV yang dibangunkan sendiri ini pada suku keempat 2025.
Untuk makluman, ini merupakan kereta yang dibangunkan sepenuhnya oleh Perodua sendiri, kerana Daihatsu tidak mempunyai model yang sesuai untuk tujuan ini untuk dimanfaatkan. Produksi EV ini akan dimulakan dengan kapsiti 500 unit sebulan di kilang baru syarikat ini di Sg. Choh, Rawang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.