Menerusi acara Malaysia Autoshow 2025 di MAEPS Serdang, Proton mengambil kesempatan mendedahkan satu lagi modelnya yang bakal dilancarkan tidak lama lagi iaitu hatchback kecil yang diberi nama eMas 5. Walau bagaimana pun, unit yang dipamerkan ini masih ditutup dengan balutan camouflage berwarna-warni.
Apa pun, masih jelas kelihatan model ini menggunakan asas Geely Star Wish, yang dijual di China sebagai Xingyuan. Ia mirip daripada sudut rekaannya yang agak bulat, dengan bentuk cermin sisi serta garis melintang pada kemasan berhampiran c-pillar.
Unit yang dipamerkan ini juga dikunci dan dipasangkan lapisan cermin gelap, jadi kami tidak dapat melihat imej dalamnya (juga tidak pasti sama ada ia versi pemanduan sebelah kanan atau kiri). Walau bagaimana pun, apa yang kami tahu, Xingyuan memiliki rekaan papan pemuka dual-cowl yang sangat organik dengan paparan instrumen digital 8.8-inci, skrin sesentuh infotainmen besar 14.6-inci, pencahayaan ambien dengan 256 warna, iluminasi pada panel pintu dan papan pemuka.
Ciri lain yang ada pada Xingyuan termasuk pendingin hawa automatik dengan corong di belakang, tempat duduk hadapan larasan kuasa, pengecas tanpa wayar Qi 50-watt dan fungsi vehicle-to-load (V2L) berkapasiti 3.3 kW. Selain itu, ia juga memiliki set bantuan pemandu termasuk brek kecemasan autonomous, pengesan isyarat trafik, amaran ketibaan lorong, lampu tinggi automatik dan kepekaan ketibaan kenderaan hadapan. Kami menjangkakan ciri ini juga akan diberikan buat eMas 5.
Buat masa ini tiada perincian didedahkan, namun di China, Xingyuan dijanakan oleh motor tunggal yang dipasang di hadapan dengan output 79 PS (58 kW) dan tork 130 Nm, dipadankan bersama bateri CATL lithium iron phosphate (LFP) 30.12 kWh yang boleh memberikannya jarak gerak hingga 310 km, mengikut kitaran CLTC.
Pilihan ‘long range’ pula menawarkan kuasa 116 PS (85 kW) dan 150 Nm dengan padanan bateri LPF yang lebih besar berkapasiti 40.16 kWh yang mampu memberikan jarak gerak hingga 410 km (CLTC) dalam pengecasan tunggal. Proton mungkin juga akan memberikan pek bateri 49.52 kWh dan 60.22 kWh seperti eMas 7, yang lebih sesuai untuk pembeli di Malaysia.
eMas 5 ini dijangka akan dilancarkan sebelum tahun 2025 berakhir, mungkin dalam masa yang lebih kurang sama dengan pelancaran EV pertama Perodua. Jika tempahan bagi kedua-dua model EV berkenaan dibuka dalam masa yang lebih kurang sama, nampak gayanya ‘perang jualan’ akan berlaku di antara kedua-dua jenama. Apa pun, yang pasti ciri penawaran dan harganya pasti yang akan dinanti-nantikan oleh bakal pembelinya untuk membuat pilihan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.