Volkswagen Arteon R-Line Wolfsburg Edition didedahkan – RM265k, banyak perincian istimewa

Volkswagen Arteon R-Line Wolfsburg Edition didedahkan – RM265k, banyak perincian istimewa

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini mendedahkan Volkswagen Arteon Wolfsburg Edition di Malaysia Autoshow (MAS) 2025 selepas perincian model berkenaan diumumkan semalam. Model istimewa ini masih diasaskan dari coupe empat pintu Arteon R-Line 4 Motion, tetapi diberikan beberapa perincian istimewa.

Antara perincian berlainan yang diberikan pada model istimewa ini termasuk pemadanan plat dengan logo Wolfsburg pada tiang B, penutup injap angin tayar juga dengan logo Volkswagen, penutup hub roda dengan logo Volkswagen yang sentiasa dalam keadaan mendatar walaupun roda berpusing dan juga jalur pelindung pada penutup but belakang.

Manakala dalam kabin, Arteon istimewa ini diberikan set karpet Wolfsburg Edition, serta dashcam asli Volkswagen yang digelar sebagai Volkswagen Universal Traffic Recorder 2.0 pada bahagian hadapan dan belakang. Dashcam berkenaan menampilkan penderia imej pandangan malam Sony Starvis yang didakwa mampu memberikan video QHD pada kelajuan tinggi walaupun dalam keadaan gelap, bersama hubungan Wifi 5 GHz dual-band yang membolehkan proses muat turun dibuat lebih cepat.

Volkswagen Arteon R-Line Wolfsburg Edition didedahkan – RM265k, banyak perincian istimewa

Satu lagi perincian yang diberikan pada Arteon istimewa ini adalah pembahagian kargo pada bahagian but belakang, yang lengkap dengan pelekat velcro untuk memastikan ia tidak bergerak dan masih boleh dicabut dengan mudah. Untuk lebih istimewa, pemilik turut akan diberikan pemegang kunci Volkswagen serta sijil pengesahan keaslian bagi membuktikan ia adalah Arteon Wolfsburg Edition yang sah dari kilang.

Tiada perubahan unit rangkaian kuasa diberikan di mana Arteon R-Line Wolfsburg Edition ini terus digerakkan dengan enjin petrol 2.0 liter empat-silinder berkuasa 280 PS dan tork maksima 350 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar DSG tujuh-kelajuan, bersama sistem pacuan semua roda 4Motion.

Perincian Arteon R-Line juga terus dibawa ke model ini termasuk rim aloi 19-inci ‘Montevideo’, lampu-lampu luaran LED, pakej penggayaan R-Line, upholsteri kulit Nappa dengan cetakan karbon, tempat duduk sport di hadapan, lampu suasana 30-warna, penghawa dingin tiga-zon, mod pemanduan yang boleh dipilih, dan pad pengecas tanpa wayar.

Untuk hiburan, ia dibekalkan dengan skrin 9.2-inci Discover Pro dengan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto, disambungkan kepada sistem Harmann Kardon 700-watt. Manakala untuk keselamatan, Arteon ini hadir dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Volkswagen IQ.Drive.

VPCM mengumumkan bahawa Arteon R-Line 4Motion Wolfsburg Edition ini dijual pada harga runcit yang disarankan RM304,990, atau RM306,012 untuk harga atas jalan tanpa insuran, iaitu RM5,000 lebih mahal dari Arteon R-Line biasa. Harga berkenaan juga sudah termasuk Volkswagen Assurance Package (VAP) yang memberikan perlindungan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan dan pakej servis selama tujuh-tahun atau 105,000 km.

Tetapi sekiranya anda tidak mahukan pakej VAP, harga atas jalan untuk Arteon R-Line Wolfsburg Edition ini hanyalah RM292,612, dan ia hanya diberikan perlindungan waranti selama dua-tahun. Walau bagaimanapun VPCM kini bermurah hati untuk menawarkan diskaun pengenalan bernilai RM40,000, menjadikan harga atas jalan tanpa insuran Arteon R-Line Wolfsburg Edition ini turun kepada RM 264,990 (atau harga atas jalan tanpa insuran RM266,012).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required