Semalam Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telahpun mengumumkan model edisi terhad untuk hot-hatch Golf GTI yang digelar sebagai Black Edition. Dan hari ini ketika berlangsungnya Malaysia Autoshow (MAS) 2025 di MAEPS, Serdang, buat pertama kalinya model tersebut didedahkan kepada umum.
Berbanding model standard, Black Edition ini menampilkan beberapa aksesori tambahan bersama beberapa perincian penggayaan dengan tema lebih ‘gelap’ dan hanya ditawarkan dengan dua warna badan iaitu Kings Red atau Deep Black. Kemudian cermin-cermin tingkap dilapisi filem penapis cahaya berwarna hitam (tetapi masih memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan), dan plat ‘Black’ ditampal pada perapi tiang-B.
Imej gelap Golf GTI Black Edition ini turut ditambah menerusi kemasan hitam pada set rim “Richmond” 18-inci yang turut dihiasi penutup tengah “GTI” yang sentiasa dalam keadaan mendatar walaupun roda berpusing, serta penutup injap angin juga dengan logo GTI.
Manakala pada bahagian dalaman, Golf Black Edition ini menerima set karpet istimewa dan juga dashcam asli Volkswagen yang digelar sebagai Volkswagen Universal Traffic Recorder 2.0 pada bahagian hadapan dan belakang. Dashcam berkenaan menampilkan penderia imej pandangan malam Sony Starvis yang didakwa mampu memberikan video QHD pada kelajuan tinggi walaupun dalam keadaan gelap, bersama hubungan Wifi 5 GHz dual-band yang membolehkan proses muat turun dibuat lebih cepat.
Satu lagi perincian yang diberikan pada Golf istimewa ini adalah pembahagian kargo pada bahagian but belakang, yang lengkap dengan pelekat velcro untuk memastikan ia tidak bergerak dan masih boleh dicabut dengan mudah. Untuk lebih istimewa, pemilik turut akan diberikan pemegang kunci Volkswagen serta sijil pengesahan keaslian bagi membuktikan ia adalah Golf Black Edition yang sah dari kilang.
Tiada perubahan dibuat pada unit rangkaian kuasa di mana model edisi terhad ini masih menggunakan enjin 2.0 liter turbo empat silinder berkuasa 245 PS dan tork maksima 370 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik (klac basah) tujuh kelajuan, bagi memacu sepenuhnya roda hadapan.
Kotak gear tersebut juga menerima sistem differential lock elektronik XDS yang berfungsi berasaskan sistem ESC bagi memberikan lebih cengkaman roda hadapan ketika mengambil selekoh. Manakala sistem Vehicle Dynamics Manager bersama Dynamic Chassis Control juga dibekalkan bagi membantu pengedalian.
Dengan pelbagai perincian unik, Volkswagen Golf GTI Black Edition ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM247,512 dengan pakej asas waranti selama dua-tahun. Sekiranya anda mahukan perlindungan lebih menyeluruh dengan Volkswagen Assurance Package (VAP) yang memberikan perlindungan waranti selama lima-tahun serta pakej servis yang kini panjangkan sehingga tujuh-tahun, ia ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insuran RM260,012.
Oleh itu harga untuk Golf GTI Black Edition ini adalah RM6,000 lebih mahal dari Golf GTI Mk8 biasa. Walau bagaimanapun VPCM kini bermurah hati untuk menawarkan diskaun pengenalan bernilai RM15,000, menjadikan harga atas jalan tanpa insuran Golf GTI Black Edition ini turun kepada RM 245,012.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.