Menerusi reels di laman Facebook rasminya, Chery Malaysia mengumumkan kini anda boleh memiliki SUV EV segmen-C Omoda E5 pada harga RM98,818! Ini merupakan kali kedua Chery menurunkan harga untuk model ini di mana Mac lalu sebanyak RM27k diskaun diberikan bagi membolehkan Omoda E5 ini dijual pada harga RM120k.
Namun seperti penurunan harga pertama, yang kedua ini juga turut hanya membabitkan stok Omoda E5 yang dibuat pada 2024. Bukan hanya potongan harga, Chery turut menawarkan pengecas AC Wallbox untuk kegunaan yang bernilai RM3,500 bersama kabel untuk fungsi Vehicle-to-load (V2L) bernilai RM500 secara percuma, serta kredit mengecas sebanyak RM1,000 kepada pembeli model ini.
Omoda E5 digerakkan dengan hanya satu motor elektrik berkuasa 205 PS dan tork maksima 340 Nm dipasang pada gandar hadapan, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat. Motor berkenaan menerima kuasa dari bateri LFP 61 kWj bagi membolehkan ia bergerak sejauh 430 km dalam kitaran ujian WLTP.
Ia boleh menerima pengecas AC pada kadar maksimum 9.9 kW, serta pengecas pantas DC sehingga 80 kW yang membolehkan. kadar cas 30-80% dipenuhkan dalam masa 30 minit. Sistem V2L pula boleh mengeluarkan kuasa keluar untuk digunakan pada peralatan elektrik lain pada kadar 3.3 kW.
Perang harga yang agresif untuk SUV EV segmen-C ini dilihat apabila Proton melancarkan eMas 7 dengan harga bermula RM106k hingga RM120k. BYD merupakan saingan pertama bertindak balas dengan penawaran tersebut dan memotong harga Atto 3 sebanyak RM26k bagi membolehkan ia dijual pada harga lebih kurang sama dengan varian tertinggi eMas 7.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.