GAC Aion V telah pun dipertontonkan di negara kita menerusi penganjuran Malaysia Autoshow 2025 (MAS2025), selepas ia dilancarkan di pasaran Thailand pada tahun lalu yang ditawarkan dengan satu varian sahaja.
Model crossover elektrik generasi kedua keluaran GAC ini berukuran 4,605 mm panjang, 1,876 mm lebar dan 1,686 mm tinggi, dengan jarak roda cecah 2,775 mm. Berbanding BYD Atto 3, Aion V adalah 150 mm lebih panjang, satu mm lebih lebar dan 71 mm lebih tinggi, dengan 55 mm lebih panjang bagi jarak rodanya.
Ia menampilkan penjana kuasa dengan motor tunggal yang menghamburkan 150 kW (204 PS) dan tork 240 Nm, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.9 saat, dan mampu mencapai kelajuan maksimum pada 160 km/j.
Kuasanya dijanakan dari GAC Magazine Battery jenis lithium iron phosphate (LFP) 75.2 kWh yang memberikannya jarak gerak hingga 602 km memgikut kitaran ujian NEDC, yang menghampiri 500 km jika mengikut kitaran ujian standard WLTP.
Aion V mampu menyokong pengecasan DC hingga 180 kW, yang membawakan status tahap pengecasan (SoC) 30-80% dalam 16 minit, atau tambahan 300 km dalam 15 minit. Selain itu, ia juga menyokong pengecasan AC terhad pada 7 kWh, yang turut menawarkan keupayaan vehicle-to-load (V2L) pada 3.3 kW.
Kelengkapan lain yang diberikan termasuklah roda aloi pelbagai-jejari 19-inci, bumbung suria panoramik, sistem kamera 360-darjah dengan fungsi ketelusan (transparency) dan tailgate elektronik.
Di dalamnya, Aion V ditampilkan dengan skrin sesentuh infotainmen 14.6-inci pada papan pemuka, yang turut disertakan dengan paparan instrumen 8.9-inci untuk pemandu, roda stereng pelbagau-fungsi dua-jejari, konsol tengah yang menempatkan pemegang berkembar telefon bimbit, pengecas peranti tanpa wayar Qi serta sembilan pembesar suara.
Selain itu, ia juga diberikan kawalan suhu dwi-zon, tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa dengan fungsi pemanas, pengaliran udara, mengurut dan memori), alas boleh lipat di belakang tempat duduk penumpang hadapan, bumbung kaca panoramik besar, tempat duduk belakang yang boleh dilaras hingga 137 darjah dan peti sejuk berkapasiti 6.6 liter yang ditempatkan di bawah perehat tangan hadapan.
Untuk kelengkapan keselamatan, Aion V menerima enam beg udara, set bantuan pemandu termasuk AEBm kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop/go, bantuan pemusatan lorong, pemantauan titik buta, amaran trafik di belakang, amaran pelanggara belakang dan amaran membuka pintu.
WTC Automotif berkata Aion dijangka akan dilancarkan di pasaran Malaysia pada suku ketiga (Q3) tahun ini. Dalam masa yang sama, syarikat ini turut mengumumkan GAC M8 PHEV telah mula dibuka tempahan di Malaysia.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.