Cabang motosikal Honda tiba di Malaysia Auto Show 2025 dengan melancarkan dua buah model baru, dan salah satu daripadanya adalah Honda CB1000 SP. Ia dijual pada harga RM69,999 tidak termasuk insurans dan hanya datang dengan satu pilihan warna sahaja iaitu Matte Ballistic Black Metallic dengan rim berwarna emas.
Menggerakkan motosikal naked ini adalah enjin sama seperti Honda CBR1000RR Fireblade, iaitu unit empat silinder selari, namun kuasanya dikurangkan sedikit menjadi 155 hp pada 11,000 rpm dan tork 107 Nm pada 9,000 rpm. Transmisi adalah unit enam kelajuan, dan sebagai sebuah model prestasi, quickshifter naik dan turun gear disediakan sekali pada CB1000 SP ini.
Untuk mod tunggangan, selain tiga mod yang datang secara tetap iaitu Rain, Standard dan Sport, motosikal ini turut disediakan dengan dua lagi mod yang boleh diubah suai oleh penunggang. Suspensi terdiri daripada fork Showa SFF-BP 41 mm di hadapan dan Ohlins TTX36 di belakang – kedua-dua boleh dilaras secara penuh.
Kelengkapan brek berprestasi turut dipasang pada CB1000 SP ini, dengan unit Brembo di hadapan termasuk angkup Stylema empat piston dan cakera berkembar 310 mm, sementara di belakang menggunakan cakera 240 mm bersama angkup Nissin.
Pada bahagian kokpit terletak skrin TFT-LCD lima inci, yang datang dengan sistem Roadsync, membolehkan pengguna menyambungkan sistem dengan telefon pintar untuk memberi fungsi tambahan. Turut disediakan di bahagian elektronik adalah Honda Selectable Torque Control (HSTC) dan Wheelie Control.
Secara keseluruhannya, CB1000 SP ini mencatat berat 212 kg dan tangki minyaknya berkapasiti 17 liter. Rim bersaiz 17 ini dan dibalut tayar 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.