KKR pasang lampu di 39 lokasi hotspot lintasan gajah liar – kos RM4j; lampu LED diguna pada papan amaran

KKR pasang lampu di 39 lokasi hotspot lintasan gajah liar – kos RM4j; lampu LED diguna pada papan amaran

Cubaan seekor ibu gajah mengalihkan sebuah lori yang merempuh anaknya di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Perak pada awal pagi 11 Mei lalu menyentuh perasaan orang ramai. Video yang memaparkan ibu gajah berkenaan yang tidak berganjak dari lokasi kemalangan lebih lima jam banyak dikongsikan menerusi laman media sosial. Difahamkan, kemalangan kira-kira jam 2 pagi itu membabitkan sebuah lori muatan ayam dan seekor anak gajah yang ditemui terperosok di bawah bahagian hadapan lori terbabit.

Menurut laporan beberapa akhbar, insiden itu disusuli kenyataan daripada pihak pemandu lori yang mendakwa anak gajah berkenaan ‘tiba-tiba melintas’ dan ia mencetuskan tanda tanya terhadap kelajuan lori berkenaan.

Malah ramai netizen turut mendesak pihak kerajaan untuk memberikan perhatian yang lebih serius terhadap perkara ini memandangkan insiden tersebut bukanlah pertama kali dilaporkan berlaku di negara kita. Sudah banyak nyawa haiwan liar termasuk harimau kumbang terkorban akibat dilanggar oleh kenderaan.

Kelmarin, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah berkongsi kenyataan di Facebook rasminya bahawa pihaknya telah bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah memasang lampu jalan di 39 lokasi hotspot lintasan gajah liar di sekitar Pahang, Kelantan, Kedah, Perak dan Johor, yang melibatkan kos sebanyak RM4 juta.

Laporan Berita Harian pula menyebut, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerajaan juga akan memasang lebih banyak papan tanda diod pemancar cahaya (LED) gajah bagi memberi amaran tentang kehadiran hidupan liar itu seterusnya berfungsi sebagai peringatan kepada pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati.

Menurut beliau, sebanyak 2,361 kematian membabitkan pelbagai spesies haiwan direkodkan di seluruh negara dalam tempoh 2020 hingga 11 Mei 2025, membabitkan kemalangan di jalan raya. Di mana Pahang merekodkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 765 kes diikuti, Perak (478 kes), Kelantan (224 kes), Terengganu (201) dan Negeri Sembilan (187 kes). Katanya, sebanyak lapan gajah direkodkan mati akibat dilanggar kenderaan dalam tempoh sama.

Ada juga aktivis menegaskan bahawa semua pemandu haruslah tidak memandu laju dan sentiasa berwaspada apabila melalui lokasi yang diketahui sebagai laluan haiwan liar.

“Keselamatan jalan raya bukan hanya tentang melindungi nyawa manusia, tetapi juga tanggungjawab kita terhadap alam sekitar dan kelestarian hidupan liar. Insiden seumpama ini pernah dilaporkan sebelum ini, antaranya di Gerik, Hulu Terengganu dan Rompin, menandakan bahawa laluan haiwan liar masih belum dilindungi dengan baik daripada risiko pertembungan dengan kenderaan berat,” kata aktivis jalan raya, Datuk Mohammad Hisham Shafe seperrti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

KKR pasang lampu di 39 lokasi hotspot lintasan gajah liar – kos RM4j; lampu LED diguna pada papan amaran

Aktivis kebajikan haiwan Tan Sri Lee Lam Thye pula berkata, lintasan hidupan liar adalah infrastruktur penting yang boleh membantu mengurangkan insiden tragis haiwan dilanggar oleh kenderaan semasa melintas jalan untuk mencari makanan. Beliau menggesa tindakan segera oleh pihak berkuasa bagi melindungi kedua-duanya, hidupan liar dan pengguna jalan raya, antaranya dengan membina jejantas atau laluan bawah tanah di kawasan yang dikenal pasti terdapat aktiviti hidupan liar, terutamanya berhampiran kawasan hutan, yang boleh mengurangkan kemalangan dengan ketara, laporan Harian Metro.

Tambah Lee pihak berkuasa juga boleh mempertimbangkan untuk memasang pagar di sepanjang lebuh raya bagi menghalakan haiwan ke tempat lintasan yang selamat dan mengelakkan mereka daripada berkeliaran di jalan raya, selain memasang papan tanda yang jelas menunjukkan kawasan itu sering dilalui hidupan liar, disertai dengan pengurangan had laju.

Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia pula menggesa tindakan segera dan nyata diambil bagi mengelakkan lebih banyak kematian hidupan liar, termasuk membina jejambat, laluan bawah tanah khas dan bonggol jalan di lokasi persimpangan utama haiwan melintas. Di mana langkah itu dilihat sebagai intervensi kritikal yang mampu memaksa pemandu memperlahankan kenderaan serta menyelamatkan banyak nyawa selain meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

paultan.org menyeru kepada semua pengguna jalan raya terutamanya yang melalui kawasan lintasan haiwan liar ini supaya elakkan memandu laju dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling. Haiwan juga seperti kita, ada hak untuk hidup tenang di muka bumi ini. Apatah lagi kita yang ‘mengambil’ lokasi habitat mereka untuk dibangunkan dan dibina jalan raya. Jika anda bukan pencinta haiwan, cukuplah sekadar mempunyai sifat kemanusiaan dan ehsan terhadap makhluk ciptaan Tuhan ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required