Skuter elektrik Modenas, iaitu MEV-1 Pro dan MEV-2 yang sebelum ini hanya dijual secara kelompok kini sudah boleh dibeli oleh orang awam seperti biasa, dengan harga bermula RM9,878 untuk MEV-2 dan RM13,470 untuk MEV-1 Pro.
Antara keduanya, MEV-1 Pro mempunyai spesifikasi yang lebih tinggi, dengan kuasa maksimum 4.9 kW (6.6 hp), tork 258 Nm, jarak gerak 135 km dan laju 85 km/j. Ia dikuasakan oleh bateri ATL lithium 60V45Ah (dua unit), dan setiap satunya mengambil masa 3.5 jam untuk dicas.
Sementara MEV-1 boleh didapati dalam versi dua tempat duduk (MEV-1 Pro SX), MEV-2 pula cuma datang dengan satu tempat duduk dan kemampuan yang sedikit kurang dengan catatan kuasa 4 kW (5.4 hp), jarak gerak 70 km dan laju 80 km/j. Bateri adalah unit ATL lithium 74V30Ah (dua unit), dan setiap satunya mengambil masa 3.5 jam untuk dicas.
Kelengkapan dua skuter elektrik ini juga kebanyakannya adalah sama, dengan termasuk brek cakera hadapan dan belakang dengan brek Combined Brake System (CBS), rim 16 inci di hadapan dan 14 inci di belakang, panel meter LCD dan lampu jenis LED.
Turut disediakan adalah soket pengecas USB, sementara suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan satu penyerap hentak di belakang. Berat keseluruhan MEV-1 Pro adalah 145 kg manakala MEV-2 adalah 110 kg.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.