Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib mengesahkan kerajaan akan mengambil kira keadaan ekonomi semasa dalam membuat sebarang keputusan mengenai pelaksanaan subsidi bersasar RON95, laporan Berita Harian
Ujar beliau lagi, pelaksanaan perlu melalui pertimbangan teliti di peringkat Kabinet, termasuk mengambil maklum balas daripada kementerian berkaitan.
“Sejujurnya, saya tidak tahu dari segi maklumat terkini, tetapi kita mesti sebagai tanggungjawab kerajaan melihat juga keadaan ekonomi. Kita perlu melihatkan keadaan ekonomi dan dari segi apa yang akan dicadangkan akan dibentangkan di bahagian Kabinet dulu.
“Kabinet akan melihat melalui maklum balas setiap kementerian bersesuaian atau tidak untuk melaksanakan atau pun tidak,” katanya bagi mengulas sama ada pelaksanaan subsidi bersasar RON95 yang dijadualkan dilaksanakan pertengahan tahun ini berkemungkinan ditangguhkan.
Pada akhir Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata unjuran rakyat terutama pengguna kenderaan yang tidak terkesan dengan penyasaran subsidi RON95 kini meningkat kepada 90% berbanding 85% sebelum ini. Justeru, kata beliau, rakyat tidak perlu runsing dengan keputusan kerajaan untuk melaksana penyasaran subsidi ke atas bahan bakar itu.
Anwar turut berkata, kerajaan sudah mengenalpasti golongan yang tidak akan menikmati penyasaran subsidi RON95, sama seperti yang dilaksana ke atas penyasaran elektrik sebelum ini.
Terdahulu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata, kerajaan akan mengumumkan mekanisme lengkap bagi pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 kepada rakyat selepas separuh pertama tahun ini. Di mana mekanisme tersebut menggunakan sistem pengenalan diri MyKad dan dua kadar harga.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.