Ini adalah rekaan bayangan model EV pertama Perodua oleh Theophilus Chin. Di MAS 2025 minggu lalu, kereta berkenaan yang berada dalam bentuk prototaip akhir hanya dipamerkan separuh binaan sahaja. Dan, rekaan yang sedang anda lihat ini berasal daripada model yang dipamer itu.
Theo memberi perhatian kepada bentuk dan garis badan sebelah yang terlihat itu — dalam warna hitam kesat tempoh hari — dan memberikan bayangan penuh EV tersebut. EV perodua pernah ditampilkan beberapa kali, paling awal dengan nama eMO-I dan kemudiannya eMO-II dalam bentuk hatchback lima-pintu ketika di KLIMS 2024 Disember tahun lalu.
Dalam pendedahan terbaru ini, EV berkenaan berubah pula ke dalam bentuk SUV crossover yang akan menjadi bentuk akhirnya kelak — dengan kelihatan mirip rekaan seperti model Toyota C-HR. Antara rekaan yang ditampilkan untuk model prototaip ini ialah pemegang pintu belakang yang tersorok (seperti C-HR dan Honda HR-V), jalur lampu LED berkelabaran penuh serta rim 18-inci (saiz paling besar untuk model Perodua setakat ini).
Ukuran dimensi belum didedahkan, tetapi EV ini lebih besar daripada Myvi, dan mungkin tak lari jauh daripada saiz Proton eMas 5 dan TQ Wuling Bingo. EV Perodua ini akan dijual di bawah RM100k, sama seperti model-model lain yang disebutkan ini. Bingo merupakan model CKD dengan harga di bawah RM100k, dan eMas 5 juga nanti tentunya akan di pasang di Tanjung Malim.
Bahagian dalamannya juga sudah mula menampakkan rupa. Ia menampilkan rekaan papan pemua yang lebih realistik dengan kedudukan konsol tengah yang tinggi merentangi antara dua kerusi depan, permukaan yang lembut untuk papan pemuka, panel instrumen digital dan pemilih gear rotari.
Sedikit tentang spesifikasi: ia menggunakan bateri lithium iron phosphate (LFP) dari CATL, dengan kadar penggunaan sekitar 400 km hingga 410 km bagi satu kali cas. Pecutan 0-100 km/j pula antara enam dan tujuh saat, dengan laju maksimum sekitar 165 km/j.
Jadi, bagaimana dengan rekaan EV pertama Perodua yang ditampilkan ini?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.