Pagi ini, negara digemparkan dengan berita yang mendukacitakan apabila trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) telah bertembung dengan lori yang membawa muatan batu di KM 15, Jalan Sungai Manik–-Sungai Lampam, Langkap, Perak yang telah menyebabkan sembilan anggota FRU terkorban.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, lori FRU dari Unit 5 yang membawa 18 orang anggota itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh sesudah selesai penugasan perayaan Chitra Pournami di Hilir Perak, laporan Harian Metro.
“Ketika sampai di tempat kejadian, lori FRU Unit 5 itu dirempuh dari hadapan oleh lori yang membawa muatan batu yang dipercayai mengalami kegagalan fungsi stereng. Lapan anggota FRU Unit 5 meninggal dunia di tempat kejadian, manakala enam yang lain cedera parah selain empat orang lagi cedera ringan,” katanya.
Anggota FRU yang terkorban dalam kejadian berkenaan ialah Sarjan S Perumal, Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, (meninggal dunia di zon merah Hospital Teluk Intan), Koperal Mohd Pozli Jaudin, Koperal Nurit Ak Pandak, Koperal Amiruddin Zabri, Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, Koperal Muhamad Akmal Muhamad, Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif dan Konstabel Akmal Wafi Annuar.
Menurut Noor Hisham, pemandu lori yang terbabit kemalangan tragis tersebut didapati memiliki pelbagai rekod jenayah lampau termasuk kesalahan berkaitan dadah. Katanya, pemandu berusia 45 tahun itu mempunyai enam rekod jenayah yang kebanyakannya berkaitan dadah.
Hasil ujian air kencing awal terhadap pemandu lori membawa muatan batu itu menunjukkan keputusan negatif tetapi siasatan lanjut masih dijalankan. “Pemandu itu yang kini dalam tahanan polis juga dipercayai mempunyai beberapa saman trafik tertunggak,” katanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.