Menteri Pengangkutan (MOT) Anthony Loke mengesahkan pihaknya membuat keputusan untuk menilai semula laluan membabitkan jalan raya dan rel kereta api yang dilihat berisiko tinggi untuk hidupan liar dan manusia, laporan Berita Harian.
Katanya, kerajaan ketika ini berusaha melindungi hidupan liar supaya laluan dibina tidak memberi ancaman kepada haiwan itu dan pada masa sama melindungi pengguna pengangkutan kereta api dan jalan raya. Antara laluan sedang dilihat semula adalah rel kereta api di Gemas–Johor Bahru yang pernah mempunyai ancaman hidupan liar seperti gajah, tambahnya lagi.
“MOT sudah pun mengambil langkah untuk menjaga keselamatan orang ramai serta melindungi hidupan liar termasuklah di projek-projek rel. Seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kita sudah mempunyai langkah-langkah mitigasi termasuklah laluan dan terowong yang dibina khas untuk pergerakan hidupan liar.
“Kita juga akan melihat perkara ini di laluan (kereta api) Gemas–Johor Bahru kerana terdapat insiden gajah melintas landasan di situ. Kita ambil serius perkara ini bukan hanya untuk melindungi hidupan liar tetapi nyawa manusia kerana kita tahu apa yang akan berlaku sekiranya gajah melintas ketika kereta api sedang laju,” katanya.
Loke turut berkata, langkah berkenaan akan mendapat kerjasama daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Perkara ini semakin serius diperkatakan susulan kes kemalangan yang menyebabkan sekor ibu gajah kehilangan anaknya yang terperosok di bawah lori dalam kejadian di Gerik, kelmarin. Aksi ibu gajah yang tidak mahu beredar dari tepi lori berkenaan mengundang simpati dan kesedihan ramai netizen yang mendesak supaya pihak kerajaan agar mengambil langkah yang lebih progresif dalam mempertingkatkan aspek keselamatan di jalan raya khususnya di lokasi lintasan haiwan liar.
kelmarin, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah berkongsi kenyataan di Facebook rasminya bahawa pihaknya telah bekerjasama dengan Perhilitan telah memasang lampu jalan di 39 lokasi hotspot lintasan gajah liar di sekitar Pahang, Kelantan, Kedah, Perak dan Johor, yang melibatkan kos sebanyak RM4 juta.
Semalam, Menteri KKR, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pula berkata, pihaknya turut mengusahakan beberapa inisiatif termasuklah pembinaan wildlife crossings (laluan lintasan hidupan liar) seperti eco-viaducts dan underpass tunnels di lokasi-lokasi panas (hotspot) yang dikenal pasti sebagai laluan migrasi gajah dan hidupan liar lain termasuk di Lebuhraya WCE, LPT2 dan beberapa lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.