Setelah dibuka untuk tempahan pada April lalu, Honda Malaysia hari ini melancarkan secara rasmi model elektrik pertama syarikat itu untuk pasaran tempatan, Honda e:N1. Hanya satu varian ditawarkan buat masa ini, dengan harga pengenalan unit terhah RM149,900.
Model ini merupakan unit CBU dari China dan harga pengenalan ini akan diberikan selagi stok masih ada bagi baki tempoh enam bulan sebelum berakhirnya insentif kerajaan untuk EV hujung tahun ini. Honda e:N1 ini mempunyai ukuran dimensi 4,380 mm panjang, 1,790 mm lebar, 1,592 mm tinggi dengan jarak kelegaan tanah 142 mm.
Walaupun diberi jolokan sebagai HR-V EV, e:N1 dibangun menggunakan platformnya yang tersendiri, e:N Architecture F, yang menempatkan satu modul unit rangkaian kuasa yang terdiri daripada sebuah motor elektrik, unit pemacu kuasanya serta transmisi di gandar depan yang sekaligus memacu roda hadapan.
Motor elektrik Honda e:N1 menghasilkan kuasa 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork maksima 310 Nm dari 0-4,621 rpm. Ini membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam 7.7 saat dan mencapai kelajuan maksima hingga 160 km/j.
Kuasa elektrik bagi kereta ini dibekalkan oleh bateri litium-ion (nickel manganese cobalt atau NMC) 68.8 kWj yang memberikan jarak perjalanan sejauh 500 km dalam kitaran ujian NEDC. Sekadar perbandingan, spesifikasi model pasaran Thailand menyatakan bateri berkenaan membolehkan e:N1 bergerak sejauh 412 km untuk satu cas penuh mengikut kitaran ujian WLTP.
Bateri berkenaan boleh dicas menggunakan pengecas DC CCS2 berkapasiti sehingga 78 kW, yang mengambil masa sekitar 45 minit untuk membolehkannya mencapai status pengecasan 10%-80% (SoC). Jika menggunakan pengecas AC berkapasiti 10 kW pula, ia mengambil masa lebih kurang enam jam untuk baterinya dicas penuh.
Honda e:N1 antaranya dilengkapi dengan rim aloi dua-tona pelbagai-jejari 18-inci dengan saiz tayar 225/50, lampu utama LED automatik denggan lampu nyalaan siang (DRL) LED, lampu kabus hadapan, lampu isyarat LED, jalur lampu belakang LED dan juga spoiler belakang.
Untuk bahagian kabin, e:N1 diberikan tempat duduk dan stereng balutan kulit sepenuhnya. Ada juga panel skrin sentuh Advanced Touch Display Audio 15.1-inci dengan sokongan tanpa wayar Apple CarPlay/Android Auto, dan paparan multi-info TFT 10.25-inci, berserta tombol penukar gear yang ringkas dan suis brek parkir elektronik.
Kereta ini juga dilengkapi dengan sistem bunyi enam-pembesar suara, pengecas telefon tanpa wayar 15 watt dan empat slot USB — dua di depan (satu Type-A, satu Type C) dan dua di belakang (Type C).
Aspek keselamatan terdiri daripada enam beg udara, VSA, bantuan mula mendaki, sensor parkir depan dan belakang, kamera undur serta ciri larasan sudut pandang untuk cermin sisi. Ada juga Honda Sensing dengan rangkaian ciri keselamatan aktif Collision Mitigation Braking System (CMBS), Lane Keeping Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation System dengan Lane Departure Warning (RDM dengan LDW), Auto High-Beam (AHB), Adaptive Cruise Control dengan Low-Speed Follow (ACC with LSF) dan Lead Car Departure Notification System (LCDN).
Tiga pilihan warna ditawarkan untuk Malaysia, melibatkan dua warna baru Aqua Topaz Metallic dan Urban Grey Pearl, dengan yang ketiga ialah Platinum White Pearl. Pilihan warna kabin pula sama ada kelabu atau hitam.
Honda e:N1 datang dengan jaminan lapan-tahun/160,000 km untuk komponen EV, dan jaminan lapan-tahun/160,000 km untuk bateri.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.