Proton telah melancarkan Proton Xchange Programme bagi menunjukkan sokongan padu terhadap usaha kerajaan untuk meningkatkan keselamatan jalan raya dan mempromosikan mobiliti yang lebih hijau. Program ini terbuka kepada pemilik semua jenis kereta walau apa jua jenama, bagi menggalakkan kereta lama yang dianggap tidak boleh digunakan di jalan raya ditukarkan dengan mana-mana model Proton baharu termasuk EV eMas 7.
Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook yang diiringi Pengerusi Proton, Tan Sri Syed Faisal Albar, dan Dr. Li Chunrong selaku CEO Proton.
Bagi memastikan Program Proton Xchange mencapai matlamatnya untuk meningkatkan keselamatan jalan raya dan pada masa yang sama menggalakkan mobiliti hijau, Proton bersama rakan kerjasamanya, Car Medic Sdn Bhd, sebuah fasiliti rawatan automotif yang diluluskan (AATF), telah merangka penyelesaian menyeluruh yang memberi insentif kepada peserta serta menjamin pelupusan kenderaan lama secara selamat.
Menerusi program ini, Proton menyediakan sokongan dagangan lebihan (overtrade) sebanyak RM2,000 untuk pendaftaran kenderaan Proton baharu. Sebanyak RM4.8 juta telah diperuntukan untuk program ini yang akan berlangsung sehingga akhir Disember 2025.
Untuk menyertai program ini, terdapat dua syarat yang ditetapkan iaitu kenderaan mestilah berusia 15 tahun atau lebih dan dalam keadaan yang dianggap tidak boleh digunakan dengan selamat. Walau bagaimana pun, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan seperti bukti pemilikan, mana-mana kereta sedan, MPV, van, 4×4, lori dan bas yang memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan di atas layak untuk menyertai program ini.
Selain itu, model baharu Proton yang dibeli mestilah didaftarkan sebelum akhir tahun untuk layak mendapat insentif dagangan lebihan. Pemilik kenderaan mesti menyediakan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) bersama-sama dengan borang JPJK1KD bagi kenderaan baharu mereka untuk membuktikan bahawa kenderaan lama mereka telah secara rasminya dibatalkan daripada pendaftaran oleh JPJ, serta Sijil Pemusnahan (COD) yang mereka peroleh daripada Car Medic.
“Program Proton Xchange mewakili langkah penting ke arah masa depan automotif yang lebih selamat dan lebih hijau untuk Malaysia, menunjukkan komitmen Proton kepada pelanggan dan negara. Selain itu, kami berharap inisiatif ini akan mendorong orang ramai untuk menukar kereta lama dengan kereta baharu yang mempunyai ciri keselamatan canggih yang mengurangkan risiko keselamatan di jalan raya.
“Ia juga merupakan langkah penting automotif yang lebih selamat dan hijau di Malaysia, serta menunjukkan komitmen Proton terhadap pelanggan dan negara. Kami juga berharap inisiatif ini dapat menggalakkan penggantian kenderaan lama kepada kereta baharu yang dilengkapi ciri keselamatan moden, sekaligus mengurangkan risiko di jalan raya,” kata Dr Li Chunrong.
Anthony Loke pula berkata, “Kementerian Pengangkutan (MOT) menyokong inisiatif Program Xchange dan menggalakkan lebih ramai pengeluar kenderaan (OEM) untuk mencontohi langkah Proton dengan melihat melangkaui sasaran jualan dan keuntungan semata-mata.
“Sebagai tanda sokongan terhadap program ini, saya berbesar hati mengumumkan cukai jalan percuma diberikan selama setahun bagi pemilik kenderaan yangb menyertai prorgam ini. Memandangkan mungkin ada pemilik kenderaan lama ini sudah berusia, maka saya juga ingin meminta agar Proton memberikan kebenaran kepada anak pemilik kenderaan tersebut yang membeli mana-mana model baharu Proton menerusi program ini.”
Sebagai satu-satunya jenama automotif Malaysia yang menawarkan pilihan ICE, mild-hybrid dan EV dalam rangkaiannya, Proton berada dalam kedudukan baik untuk merajui program pertukaran yang memudahkan rakyat Malaysia dengan menaik taraf kepada kenderaan yang lebih baharu, hijau dan selamat. Dengan ketibaan model-model baharu pada masa akan datang termasuk model EV kedua, eMas 5, Proton bersedia memainkan peranan dalam memastikan industri automotif menyumbang ke arah matlamat negara untuk mencapai status karbon neutral menjelang tahun 2050.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.