Zeekr Malaysia mengumumkan, Zeekr 009 yang baru sahaja diperkenalkan minggu lalu kini diberikan peningkatan. Varian asas bagi MPV elektrik tersebut kini mendapat suspensi udara dual-chamber, berbanding single-chamber sebelum ini.
Lain daripada itu tiada apa yang berubah, dan Zeekr 009 paling murah ini dijual pada harga RM310,000 tidak termasuk insurans untuk 500 pelanggan pertama. Sebelum varian Executive ini tiba, Zeekr 009 dilancarkan dalam dua varian iaitu Luxury yang berharga RM349,800 dan Ultra Luxury berharga RM359,800. Ini bermakna, 009 Executive adalah RM49,800 lebih murah berbanding varian paling tinggi.
Sementara dua varian yang lebih awal tiba ke negara kita itu dipacu oleh dua motor dan pacuan semua roda, berkuasa 612 PS (603 hp atau 450 kW) dan 693 Nm, 009 Executive pula cuma menggunakan satu motor elektrik di hadapan dan menghasilkan 340 PS (335 hp atau 250 kW) dan tork 373 Nm. Laju maksimum masih lagi 210 km/j tetapi pecutan 0-100 km/j menjadi perlahan sedikit iaitu 7.9 saat.
Bateri yang digunakan 009 Executive adalah sama sahaja seperti varian AWD, iaitu unit nickel manganese cobalt (NMC) 116 kWh, tetapi disebabkan ia hanya ada satu motor, jarak geraknya adalah lebih baik, iaitu 604 km. Apabila menggunakan input AC 11 kW, baterinya akan naik 0-100% dalam masa 13.5 jam, sementara apabila menggunakan DC 150 kW, 10-80% dapat dicapai dalam masa 30 minit.
Varian 009 Exzecutive ini hanya datang dalam tetapan tujuh tempat duduk seperti Luxury, dan kelengkapannya juga hampir sama. Berdasarkan risalah jualan yang kami terima, varian asas ini cuma tidak mempunyai selak pintu elektronik di hadapan dan stereng yang hanya boleh dilaras secara manual.
Namun, ia masih datang dengan lampu utama LED matriks dengan Adaptive Driving Beam (ADB) dan Front Lighting System (AFS), DRL LED, lampu suasana di dalam, balutan kulit Nappa dan Ultrasuede, tempat duduk baris pertama dan kedua larasan kuasa dengan liang udara dan fungsi mengurut, tujuh beg udara serta pakej ADAS.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.