MG S5 EV sah akan dilancar 20 Mei – pencabar eMas 7 akan dijual pada harga anggaran bermula RM115k

MG S5 EV sah akan dilancar 20 Mei – pencabar eMas 7 akan dijual pada harga anggaran bermula RM115k

Ramai menjangkakan, MG Motor Malaysia akan melancarkan MG S5 EV semasa Malaysia Autoshow (MAS) 2025 baru-baru ini. Ya, SUV elektrik pencabar Proton eMas 7 dan BYD Atto 3 itu ada di sana, tetapi ia masih belum bersedia. Terbaru, teaser untuk MG S5 EV disiarkan dengan pelancaran dikatakan akan berlaku 20 Mei ini di Mid Valley Megamall.

“Kiraan bermula sekarang. Dalam masa lima hari, kami akan memperkenalkan jentera pemanduan British terbaik dalam kelasnya, dan anda mahu berada di hadapan menyaksikannya. Tengok. Rasa. Pandu,” tertulis dalam muatan yang dinaikkan dalam media sosial.

Semasa MAS 2025, MG mendedahkan pakej pelancaran untuk S5 EV, bersama harga jangkaan yang bermula RM115,000. Sesiapa yang membuat tempahan dengan bayaran RM500, mereka akan mendapat diskaun tambahan RM5,000 bersama pengecas Wallbox kegunaan rumah 7kW secara percuma.

MG S5 EV sah akan dilancar 20 Mei – pencabar eMas 7 akan dijual pada harga anggaran bermula RM115k

Dua varian akan diperkenal, dan ia akan digelar sebagai Com untuk varian permulaan manakala varian tertinggi dikenali sebagai Lux. Dengan itu, MG S5 Com menerima bateri LFP 49kWj bagi memberikan jarak gerak 340 km dalam kitaran WLTP, manakala MG S5 Lux pula diberikan bateri LFP 62 kWj bagi memberikan jarak gerak sejauh 430 km. Dua varian ini menggunakan tetapan satu motor di belakang, menghasilkan 170 PS dan tork 250 Nm.

Untuk mengecas pula kedua dua varian boleh dicas dengan sistem AC 7 kW. Varian Com boleh menerima pengecas pantas DC sehingga 120 kW, manakala varian Lux boleh menampung sehingga 150 kW membolehkan kadar cas 10% hingga 80% dicapai dalam masa 26 minit. Kedua-duanya juga turut menerima sistem vehicle-to-load (V2L) membolehkan kuasa bateri digunakan pada peralatan elektrik lain.

Kelengkapan standard yang diberi adalah termasuk lampu hadapan LED dengan lampu nyalaan siang bertemakan ‘bendera perlumbaan’, skrin infotainmen utama bersaiz 12.8-inci dengan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, paparan instrumen digital dengan skrin 10.25-inci, pengecas telefon pintar tanpa wayar dan juga hubungan aplikasi iSmart MG.

Varian Lux kemudiannya ditambah dengan rim aloi 18-inci, bumbung panaromik, pintu tailgate belakang berkuasa, upholsteri tempat duduk kombinasi kulit dan fabrik berliang berwarna gelap dengan logo MG tersembunyi pada jalur tengah, stereng kulit dengan pemanas, tempat duduk pemandu larasan elektrik dan sistem audio premium dengan 6 pembesar suara.

Bagi sistem keselamatan pula kedua-dua varian diberikan tujuh-beg udara dan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) penuh bersama lampu tinggi automatik. Manakala varian Lux akan menerima tambahan kamera pandangan sekeliling 360 darjah. Lima warna badan ditawarkan untuk MG S5 EV pasaran Malaysia ini iaitu Arctic White, Monument Silver, Camden Grey, Dynamic Red, dan Elegant Latte.

GALERI: MG S5 EV di MAS 2025

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required