Di pasaran global, CFMoto mempunyai satu sub jenama, CFLite, dibuat khas untuk motosikal kapasiti rendah dan lebih mampu milik. Sekarang, salah satu model daripada CFLite sudah tiba di Malaysia, iaitu 250NK, dengan harga jualan RM9,888 tidak termasuk insurans dan disediakan dalam empat pilihan warna.
Memacu motosikal naked ini adalah enjin satu silinder suntikan bahan api, penyejukan cecair 249 cc, bersama transmisi enam kelajuan, menghasilkan kuasa 27.4 hp pada 9,750 rpm dan tork 22 Nm pada 7,500 rpm. Tangki bahan api berkapasiti 12.5 liter.
Suspensi menjadi antara bahagian yang menampakkan bagaimana model ini dapat dijual lebih murah berbanding CFMoto 250NK, di mana ia menggunakan fork teleskopik biasa sahaja, bersama monoshock dan lengan ayun besi petak di belakang.
Ia memegang rim 17 inci aluminium, yang dibalut tayar 110/70 di hadapan dan 40/60 di belakang. Tugas membrek dijalankan unit cakera tunggal 292 mm dengan angkup empat piston di hadapan, dan cakera tunggal 220 mm dengan angkup satu piston di belakang – ABS dual-channel diberikan secara standard.
Pada bahagian kokpit, tersedia skrin LCD yang boleh memaparkan informasi penting termasuk kedudukan gear, tahap kelajuan dan rpm, sementara di bawahnya tersedia soket pengecas USB. Berat keseluruhan 250NK daripada CFLite ini adalah 158 kg, dengan tinggi tempat duduk 795 mm, dan ia menawarkan tunggangan yang lebih mudah untuk pengguna.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.