CarNewsChina melaporkan bahawa berdasarkan data dari Persatuan Kereta Penumpang China, Geely Geome Xingyuan atau dikenali sebagai Geely Star Wish pada pasaran eksport kini merupakan kenderaan paling laris di China untuk suku keempat 2025 dalam segmen sedan/hatchback.
Untuk bulan April sahaja sebanyak 36,119 unit Xingyuan telah terjual di China, manakala untuk empat bulan pertama tahun ini jualan bagi model elektrik penuh kompak berkenaan telah mencapai 125,334 unit. Saingan terdekat bagi model ini adalah BYD Seagull, di mana ia telah terjual sebanyak 34,005 unit sepanjang April, dan kini mencecah 113,099 unit untuk jualan dari Januari hingga April 2025.
Dalam perkembangan berkaitan, Geely sendiri telah pun mengumumkan bahawa sebanyak 200,000 unit Geome Xingyuan ini telah diproduksi di China, selepas unit pertama dihasilkan hanya pada Februari tahun ini. Di sana Xingyuan dijual pada harga bermula 68,800 dan 97,800 yuan (sekitar RM41k dan RM58k).
Ia digerakkan dengan motor elektrik tunggal memacu roda belakang yang menjana 79 PS dan tork maksima 130 Nm, dipadankan standard dengan bateri LFP berkapasiti 30.12-kWj bagi memberikan jarak gerak kitaran CLTC sejauh 310 km. Bateri lebih besar berkapasiti 40.16-kWj ditawarkan sebagai opsyen bagi menawarkan jarak gerak 410 km, dengan motor lebih kuat berkuasa 116 PS dan tork 150 Nm.
Ketika berlangsungnya Malaysia Autoshow 2025 awal bulan ini, Proton telah mengesahkan bahawa model EV terbaharunya yang lebih kecil dari eMas 7 bakal diasaskan dari Geome Xingyuan ini dan bakal digelar sebagai Proton eMas 5. Unit prototaipnya sudah didedahkan dengan pelekat penyamaran, menyaksikan ia menerima rupa luaran yang sama seperti Xingyuan, cuma dibezakan dengan logo Proton.
Namun tidak seperti eMas 7 yang menerima stok awalan yang diimport sepenuhnya (CBU) dari China, eMas 5 ini mungkin akan terus ditawarkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD) dipasang di kilang EV Proton di Tanjong Malim yang dijangka mula beroperasi lewat tahun ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.