“Mmasuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak”.. sila fahami peribahasa ini yang membawa maksud “Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan.” Itulah yang perlu dilakukan apabila kita memasuki atau berkunjung ke tempat orang, ikuti peraturan yang ditetapkan, dan usah buat ‘ikut kepala sendiri’.
Tidak seperti sekumpulan rakyat Malaysia yang memandu pelbagai kereta mewah memasuki wilayah Hat Yai di Thailand dan membuat onar di sana pada Jumaat lalu. Mereka telah ditahan oleh polis Thailand kerana mengganggu ketenteraman penduduk di sana kerana membuat bising dan berlumba haram berhampiran Pasar Malam Greenway.
Timbalan Ketua Polis Pelancong Thailand (Wilayah Ketujuh), Leftenan Kolonel Sakarin Anusaman Sakul berkata, penduduk juga memaklumkan mereka melihat beberapa kereta berdaftar dari Malaysia berlumba di sekitar Hat Yai. Berikutan aduan itu, katanya, polis Kho Hong dengan bantuan pegawai pelancong dan trafik berjaya mengenal pasti rakyat Malaysia itu melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV), laporan Harian Metro.
“Kira-kira 11 pagi semalam (waktu Thailand), pihak polis berjaya mengesan kumpulan berkenaan bersama enam kenderaan dan semua individu ditahan. Kesemua 10 individu, terdiri daripada lelaki dan wanita berusia antara 21 hingga 25 tahun, didenda mengikut undang-undang lalu lintas Thailand,” katanya.
Menurut Sakarin, kesemua individu yang terlibat turut berdepan empat pertuduhan iaitu menghalang lalu lintas, memandu secara melulu, mengubah suai kenderaan tanpa kebenaran menggunakan alat ganti tidak mematuhi piawaian, dan tidak melengkapkan kelengkapan wajib pada kenderaan. Malah pihaknya turut menyita enam kenderaan yang terlibat termasuk Honda Civic Type R dan kereta Mercedes-Benz.
“Sebagai tanda kesal, kesemua mereka turut melakukan isyarat tradisional Thailand iaitu ‘wai’ sebagai permohonan maaf. Mereka memohon maaf atas tindakan dan gangguan yang ditimbulkan. Mereka juga berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan tersebut,” katanya sambil menambah kumpulan terbabit diarahkan pulang ke Malaysia dengan serta-merta.
Sakarin turut mengingatkan semua pemandu asing termasuk dari Malaysia supaya mematuhi undang-undang di Thailand. Dalam masa yang sama, beliau juga menggesa pengendali pelancongan Thailand supaya memberi penerangan yang jelas kepada pelancong mengenai peraturan lalu lintas sebelum memasuki negara itu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
waiting for local police to do something similar…jk