Menurut laporan dari CnEVPost, Geely kini telah pun memulakan produksi percubaan bagi model SUV EV EX5 di kilang PT Handal Indonesia Motor (HIM) yang terletak di keregenan Purwakarta.
Laporan itu menyebut bahawa selepas percubaan ini, EX5 atau dikenali sebagai Geely Galaxy E5 di China akan mula diproduksi secara besar-besaran pada suku keempat tahun ini. Kilang berkenaan didakwa mampu untuk menghasilkan 20,000 kenderaan setahun, dan Geely turut merancang bagi melancarkan antara lima hingga tujuh model di Indonesia dalam tempoh masa tiga tahun akan datang, membabitkan model-model EV, plug-in hybrid (PHEV) dan enjin pembakaran dalaman petrol biasa.
Kilang ini juga bukan hanya menghasilkan kenderaan untuk permintaan pasaran domestik Indonesia sahaja, malah turut akan mengeksport kenderaan ke pasaran ASEAN yang lain. Buat masa sekarang Geely sudahpun mempunyai 15 pengedar di Indonesia, dan dijangka akan berkembang sehingga ke 100 lokasi lain dalam masa tiga tahun.
Seperti yang di ketahui, EX5 juga merupakan kembar kepada Proton eMas 7 di Malaysia. Ia telah dilancarkan di Indonesia pada Januari lalu, selepas dilancarkan di Thailand pada November 2024. Dua varian ditawarkan di sana iaitu EX5 Pro dijual pada harga 475 juta rupiah (sekitar RM124k) dan EX5 Max berharga 515 juta rupiah (RM135k). Geely turut menawarkan harga pengenalan istimewa dengan diskaun 10 juta rupiah (RM2.6k) untuk kedua-dua varian.
Untuk spesifikasi pula, EX5 dilengkapi dengan motor elektrik tunggal memacu roda hadapan berkuasa 218 PS dan tork maksima 320 Nm, menerima kuasa dari bateri LFP berkapasiti 60.22 kWj. Varian Pro boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dan jarak gerak NEDC sejauh 495 km. Varian Max pula membuat pecutan sama dalam masa 7.1 saat dengan jarak gerak sejauh 490 km.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.