Apabila memandu dan melintasi atau pun menghampiri kenderaan berat seperti lori dan treler, tentu ada yang berasa agak cuak memandangkan masa kini banyak pula terjadinya kemalangan yang berpunca dari kedua-dua jenis kenderaan berkenaan. Memang tidak salah untuk berasa sebegitu agar kita lebih berhati-hati, lebih peka dan mempertingkatkan fokus dalam pemanduan.
Menurut kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), kemalangan maut yang melibatkan kenderaan berat telah meragut sekurang-kurangnya 1,457 nyawa sejak enam tahun lalu, dengan purata satu kematian setiap 36 jam,
Harian Metro melaporkan, kajian MIROS itu mendapati kemalangan lori di lebuhraya lebih cenderung mengakibatkan kematian berbanding jalan raya lain seperti jalan persekutuan, jalan negeri, dan jalan perbandaran. Faktor seperti kelajuan tinggi dan berat muatan lori berlebihan menyumbang kepada risiko kematian yang lebih tinggi, terutamanya apabila kemalangan berlaku di selekoh.
Aktivis jalan raya, Datuk Mohamad Hisham Shafe berkata, sepanjang enam tahun lalu, sebanyak 1,457 kemalangan maut membabitkan lori direkodkan. Di mana nisbah purata adalah satu kemalangan lori berlaku bagi setiap 2,164 minit atau bersamaan satu hari 12 jam.
Tambahnya, kemalangan membabitkan kenderaan berat sememangnya mengundang risiko kemalangan jiwa yang tinggi berikutan saiz dan impak hentakan lori lebih besar berbanding mana-mana kenderaan lain, terutamanya apabila ia dipandu dalam kelajuan yang tinggi di lebuhraya.
Selain saiz dan beban, Mohamad Hisham berkata, pemandu lori sering terdedah kepada risiko keletihan akibat waktu bekerja yang panjang. Selain itu, bebanan kerja berlebihan dan muatan tidak seimbang juga menjadi penyumbang kepada ketidakstabilan lori di jalan raya. Malahan kenderaan ini juga seringkali tidak melalui proses penyelenggaraan yang betul dan ia memberi kesan kepada pemanduan jangka panjang, katanya.
“Kajian MIROS juga turut mendedahkan hanya 32% pengendali kenderaan pengangkutan awam dan kenderaan perdagangan mematuhi Kod Amalan Industri untuk Keselamatan Pengangkutan (ICOP) pada tahun 2022. Semua data ini jelas menunjukkan bahawa aspek keselamatan kenderaan dagangan tidak begitu diambil berat malah ada pengusaha yang masih culas untuk melakukan penilaian penyelenggaraan dan menggunakan tayar celup,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.