Semalam tular satu video yang memaparkan sebuah Perodua Axia berwarna merah membawa beban muatan berlebihan dan kemudian menyebabkan kesesakan jalan raya kerana barangan yang dibawa bertaburan di atas jalan raya, dipercayai berlaku di Jalan Dengkil-Banting.
Susulan dari kejadian itu pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bertindak mengesan kereta berkenaan dan pemandu tersebut disahkan sudahpun ditahan.
Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman dalam laporan Kosmo, ‘Axia Merah’ tersebut dipandu oleh seorang lelaki berusia 59 tahun yang pernah terbabit kemalangan beberapa tahun lalu dan mengalami cedera di kepala dan dipercayai mengalami masalah jiwa.
“Kami bertindak mengesan kereta itu susulan satu video tular berdurasi 13 saat yang dimuat naik di laman Facebook oleh pemilik akaun ‘Sepang Viral’.
“Kereta jenis Perodua Axia dipandu lelaki itu telah ditahan mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi tujuan pemeriksaan dan tindakan lanjut,” katanya.
Norhizam kemudiannya turut menegsahkan bahawa pemandu kenderaan tersebut mempunyai lesen memandu yang sah, manakala kenderaan itu pula mempunyai dokumen perjalanan lengkap. Beliau turut menyatakan bahawa pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh mengenai kes itu dan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.