Kementerian Ekonomi memaklumkan bahawa rancangan penyelarasan subsidi petrol RON95 telah diserahkan kepada Kementerian Kewangan. Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, tanggungjawab terhadap subsidi minyak bersasar kini bukan lagi di bawah kementeriannya, lapor New Straits Times.
“Ini keputusan kabinet. Dari pihak Kementerian Ekonomi, kami telah bawa perkara ini kepada kabinet sebanyak empat kali, dan kedudukan semasa adalah untuk menunggu tindakan daripada Menteri Kewangan. Mereka akan menguruskan semua proses berkaitan subsidi RON95 selepas ini. Kita perlu menunggu pengumuman rasmi daripada mereka. Perincian lanjut akan datang daripada mereka,” jelasnya.
Rafizi sebelum ini telah menjelaskan bahawa penyelarasan subsidi petrol akan dilaksanakan dalam dua fasa. Pertama adalah melibatkan garis depan seperti operasi di stesen petrol, sementara fasa kedua melibatkan proses belakang tabir misalnya penentuan kelayakan penerima bagi kelompok 85% pendapatan yang lebih rendah.
Beliau menjelaskan, proses belakang tabir berkenaan masih akan dikendalikan oleh kementeriannya, dan penentuan kelayakan akan diuruskan oleh Kementerian Kewangan sebelum diserahkan kepada kabinet untuk pengesahan akhir.
Kerajaan sebelum ini memberi petunjuk bahawa rancangan untuk memperkenalkan subsidi bersasar bagi RON95 sejak tengah tahun lalu, tetapi menjelaskan baru-baru ini akan mempertimbangkan dahulu keadaan ekonomi semasa sebelum melaksanakannya.
Setakat ini masih belum ada perincian pelaksanaan subsidi bersasar ini lagi. Setakat Mac, kerajaan masih belum menentukan bagaimana kaedah untuk menentukan kelayakan penerima serta bagaimana kaedahnya walaupun telah mempertimbangkan empat kertas cadangan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bagaimanapun telah memberi bayangan bahawa kaedahnya akan berdasarkan sistem dua peringkat harga bagi kedua-dua harga subsidi dan tanpa subsidi, dengan menggunakan MyKad sebagai penentunya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.