Selepas dua kali dipertontonkan di Malaysia, MG Motor Malaysia telah pun melancarkan MG S5 2025 untuk pasaran tempatan. SUV EV ini hadir dengan dua varian kapasiti bateri iaitu MG S5 EV Com yang ditawarkan pada harga RM116,548, RM126,548 untuk MG S5 EV Com Long Range dan model spesifikasi penuh S5 EV Lux Long Range pula berharga RM136, 548. Kesemuanya adalah harga atas jalan dan tidak termasuk insurans.
Sempena dengan pelancarannya dan juga ulangtahun pertama MG di Malaysia, syarikat ini juga berbesar hati untuk menawarkan pemberian eksklusif untuk 500 pembeli pertama rebat sehingga RM6,000. Bukan itu sahaja, setiap pelanggan yang berkelayakan juga bakal menerima pengecas wallbox AC 7kW secara percuma untuk memudahkan pengecasan EV di kediaman masing-masing.
Setiap pembelian MG S5 EV ini juga didatangkan dengan waranti kenderaan selama tujuh-tahun atau 150,000 km, bateri bervoltan tinggi selama lapan-tahun atau 180,000 km, serta drive motor dan unit kawalan motor selama lapan-tahun atau 160,000 km.
Bagi kedua-dua varian S5 Cam, ia dipadankan bersama bateri LFP 49 kWj bagi memberikan jarak gerak 340 km mengikut kitaran WLTP, manakala MG S5 Lux pula menerima bateri LFP 62 kWj membolehkannya mencapai jarak gerak sejauh 430 km.
Kesemua varian MG S5 pasaran Malaysia ini juga dipadankan dengan motor tunggal yang diletakkan pada bahagian belakang bagi memacu roda belakang. Motor tersebut mampu menghasilkan kuasa 170 PS dan tork maksima 250 Nm. Membolehkannya mencapai pecutan dari 0-100 km/j dalam lapan saat.
Bagi memantapkan lagi sistem pengendaliannya, gandar belakang yang menempatkan motor elektrik berkenaan menggunakan konfigurasi suspensi bebas jenis 5-link. Menurut MG, ia akan memberikan pemanduan yang sporty dan dalam masa yang sama masih mengekalkan keselesaan SUV ini.
Berkenaan dengan pengecasannya, kedua-dua varian menyokong sistem AC berkapasiti tujuh kW dan juga pengecas pantas DC. Walau bagaimana pun, varian Com boleh menerima pengecas pantas DC sehingga 120 kW, manakala varian Lux boleh menampung sehingga 150 kW membolehkan kadar cas 10% hingga 80% dicapai dalam masa 26 minit. Kedua-duanya juga turut menerima sistem vehicle-to-load (V2L) membolehkan kuasa bateri disalurkan pada peralatan elektrik lain.
Walaupun ia dikelaskan sebagai SUV segmen-B, saiz MG S5 ini sebenarnya sudah menghampiri model-model segmen-C. Ia menampilkan ukuran panjang 4,476 mm, lebar 1,849 mm, serta jarak roda sejauh 2,730 mm. Jadi MG S5 ini adalah 21 mm lebih panjang, jarak roda 10 mm lebih jauh tetapi 26 mm kurang lebar berbanding BYD Atto 3.
Secara standard kesemua varian menerima kelengkapan sama termasuk lampu hadapan LED dengan lampu nyalaan siang bertemakan ‘bendera perlumbaan’, skrin infotainmen utama bersaiz 12.8-inci dengan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, paparan instrumen digital dengan skrin 10.25-inci, pengecas telefon pintar tanpa wayar dan juga hubungan aplikasi iSmart MG.
Namun untuk varian Com Long Range dan Lux Long Range diberikan tempat duduk larasan elektrik enam-cara bersama sokongan lumbar manual serta dibaluti upholsteri tempat duduk kombinasi kulit dan fabrik berliang berwarna gelap (fabrik sepenuhnya untuk model asas).
Manakala varian Lux ditambah dengan rim aloi 18-inci, bumbung panaromik, pintu tailgate belakang berkuasa, dengan logo MG tersembunyi pada jalur tengah, stereng kulit dengan pemanas, dan sistem audio premium dengan enam unit pembesar suara (empat unit untuk varian Com).
Bagi sistem keselamatan pula kesemua varian diberikan tujuh-beg udara, ABS dengan EBD, cagak ISOFIX dan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) penuh yang merangkumi Kawalan Kelajuan Adaptif, Pemantauan Titip Buta, Brek Kecemasan Sendiri, Kekal Lorong Kecemasan, Kawalan Lampu Utama Pintar, Bantuan Kekal Lorong dan Bantuan Kesesakan Trafik. Manakala varian Lux menerima ciri tambahan berupa kamera pandangan sekeliling 360-darjah.
Lima warna badan ditawarkan untuk MGS5 EV pasaran Malaysia ini iaitu Arctic White, Monument Silver, Camden Grey, Dynamic Red, dan Elegant Latte (hanya untuk varian Lux sahaja). Sekali lagi, MGS5 EV Com ditawarkan pada harga RM116,548, RM126,548 untuk MGS5 EV Com Long Range dan model spesifikasi penuh S5 EV Lux Long Range pula berharga RM136, 548. Kesemuanya adalah harga atas jalan dan tidak termasuk insurans.
MG S5 EV Com
MG S5 EV Lux Long Range
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.