AFA PRIME Berhad (dahulunya dikenali sebagai ANIH Berhad), pemegang konsesi bagi Lebuhraya KL-Karak (KLK), telah mengumumkan projek pelebaran KLK dijadualkan bermula pada suku kedua (Q2) 2025.
Projek pelebaran KLK meliputi jajaran dari KM19.2 hingga KM64.5, antara Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong. Ia dilaksanakan selaras dengan peningkatan jumlah trafik yang berterusan, terutamanya pada hujung minggu dan musim perayaan, Projek ini dirancang untuk memenuhi keperluan trafik masa hadapan, dengan penekanan terhadap aspek keselamatan serta kelancaran aliran trafik.
Dengan jangka masa pembinaan selama 48 bulan, kerja- kerja persediaan termasuk pemotongan cerun, penaiktarafan sistem perparitan, mitigasi banjir, dan pembinaan tembok penahan kini sedang dijalankan.
“Projek pelebaran ini bukan sahaja menambah kapasiti lebuhraya, tetapi melibatkan penilaian semula tentang bagaimana lebuhraya harus berfungsi demi rakyat iaitu dari segi kebolehpercayaan, keselamatan, dan daya tahan jangka panjang. Matlamat kami adalah untuk membina lebuh raya yang mampan dan bersedia untuk keperluan masa hadapan.
“Kami telah memperkenalkan sistem pemantauan masa nyata, perancangan kontingensi, dan protokol tindak balas kecemasan bagi memastikan para pengguna jalan raya kekal selamat dan mendapat maklumat yang tepat walaupun semasa kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan,” kata Ir. Vijayaraj, Pengarah Eksekutif AFA PRIME Berhad.
Menurut syarikat konsesi ini lagi, ciri utama projek tersebut merangkumi penambahan satu lorong bagi setiap arah serta pelebaran bahu jalan daripada 2.5 meter kepada tiga meter di kedua-dua arah, selaras dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Ini akan membolehkan bahu jalan diaktifkan secara fleksibel sebagai lorong pintar pada waktu puncak, sekali gus menambah bilangan lorong operasi dan meningkatkankelancaran aliran trafik dengan ketara.
Bagi memperkukuhkan tindak balas kecemasan dan mengelakkan insiden sekunder, projek ini turut merangkumi penambahan lapan petak kecemasan baharu. Kawasan ini akan membolehkan kenderaan yang mengalami kerosakan dialihkan dengan segera dari lorong aktif, sekali gus mengurangkan gangguan dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Memandangkan Terowong Genting Sempah merupakan kawasan trafik tinggi, kerja-kerja pembinaan di kawasan ini akan dihadkan kepada luar waktu puncak sahaja. Pencahayaan waktu malam akan dipertingkatkan dengan pemasangan lampu limpah (floodlight), manakala lampu sedia ada akan disusun semula bagi memastikan keberkesanan maksimum selepas projek disiapkan.
Bagi langkah-langkah keselamatan sepanjang pelaksanaan projek ini, AFA PRIME Berhad telah melantik Edgenta PROPEL Berhad sebagai rakan kongsi pengurusan trafik. Ini termasuklah menyediakan penghadang, kon, papan tanda, pengawal lalu lintas, dan pasukan rondaan. Keupayaan pemantauan mereka 24/7 akan menjadi kunci dalam memastikan keselamatan terjaga dan mengurangkan kesesakan sepanjang tempoh pembinaan.
Selain itu, Sistem Mesej Berubah Digital (VMS) akan dipasang di sepanjang laluan untuk memaparkan amaran trafik dan notis kecemasan. Maklumat ini akan disertai dengan kemas kini berkala di platform media sosial AFA PRIME Berhad, membolehkan pengguna jalan raya merancang perjalanan mereka secara masa nyata.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.