Awal bulan ini Volvo ada mendedahkan model terbaharunya iaitu XC70, namun masih dalam bentuk teaser di mana sebahgian rupa model berkenaan masih lagi belum jelas. Namun di China, portal automotif Autohome telahpun menyiarkan imej yang jelas untuk rupa luaran XC70 berkenaan, sebelum ia dilancarkan disana secara rasmi September nanti.
Tidak seperti model-model XC70 generasi sebelumnya di mana ia adalah wagon V70 ‘cross country’ diasaskan dari sedan S60 kemudian menerima tayar lebih besar dan suspensi lebih tinggi bersama panel-panel pelindung badan, XC70 generasi baharu ini dihasilkan lebih tersendiri tanpa asas dari model Volvo yang lain.
Ia juga adalah model generasi baharu pertama Volvo yang menerima semula enjin pembakaran dalaman selepas jenama Sweden berkenaan mengumumkan bahawa peralihan untuk menjadi jenama elektrik sepenuhnya dilanjut lebih dari 2030. Walau bagaimanapun, ia bukanlah model yang dijana oleh petrol sepenuhnya kerana XC70 diberikan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV).
Namun dari segi rekaan, XC70 ini lebih menyerupai model-model elektrik penuh (EV) terkini Volvo dengan menampilkan muka yang diberikan lampu nyalaan siang ‘Tukul Thor’ dan juga logo ‘Iron Mark’ Volvo tanpa gril di belakangnya. Dengan enjin pembakaran dalaman yang diberikan, XC70 ini masih menerima gril bampar yang besar, tetapi masih menampilkan penutup gril aktif.
XC70 ini masih menampilkan rekaan muncung yang panjang yang masih memberikan ‘aura’ sebuah wagon, tetapi dengan badan yang lebih tinggi menyerupai sebuah SUV sebenar. Pengaruh rekaan dari SUV EV EX90 juga boleh dilihat dari tepi, terutamanya pada cermin tingkap belakang dengan garis bawah ternaik ke atas.
Manakala lampu belakang menerima rekaan seakan dari model C40 dengan lampu utama direka dengan grafik LED berbentuk-C, bersambung dengan lampu pada bingkai sisi cermin belakang serta sedikit pada pintu tailgate belakang. Volvo XC70 ini dipadankan dengan set rim aloi berdiameter 21-inci dengan tayar 255/40R21.
Ada juga gambar intipan bahagian dalaman XC70 generasi baharu ini, namun ia masih disorokkan dan sukar untuk dilihat dengan jelas. Cuma yang pasti model ini akan menampilkan skrin tengah besar yang diletakkan secara lanskap dan bukan potret.
Masih belum ada perincian berkenaan spesifikasi teknikal diumumkan untuk XC70 ini. Namun menurut Volvo sebelum ini XC70 merupakan model pertama yang diasaskan dari platform Scalable Modular Architecture (SMA) serta diberikan sistem PHEV dengan penambah jarak (RE-PHEV) bagi memberikan jarak gerak elektrik sepenuhnya sejauh 200 km.
Namun ada khabar angin menyatakan XC70 ini merupakan satu lagi model Volvo yang berkongsi asas sama dengan model Geely seperti MPV Volvo EM90 yang merupakan model rebadge dari Zeekr 009. Manakala XC70 ini dikatakan diasaskan dari Lynk & Co 08, yang digerakkan oleh unit rangkaian kuasa EM-P.
Sistem hibrid yang fokus terhadap prestasi tersebut menampilkan enjin 1.5 liter empat silinder turbo berkuasa 163 PS dan tork 255 Nm, digandingkan dengan kotak gear khas hibrid tiga kelajuan (3DHT Evo) yang diintegrasikan bersama motor elektrik berkuasa 218 PS dan tork maksima 350 Nm.
Secara keseleruhan sistem berkenaan menghasilkan kuasa 381 PS dan tork maksima 615 Nm memacu roda hadapan. Ada juga varian pacuan semua roda dengan tambahan satu lagi motor elektrik pada gandar belakang berkuasa 212 PS/290 Nm, menjadikan kuasa keseluruhannya adalah 593 PS dan tork maksima 905 Nm.
Dua jenis bateri dengan kapasiti berbeza ditawarkan pada Lynk & Co 08 berkenaan iaitu bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 21.2 kWj yang memberikan jarak gerak elektrik CLTC 120 km, dan juga bateri nikel mangan kobalt (NMC) berkapasiti 39.6 kWj bagi memberikan jarak gerak elektrik sehingga 245 km (220 km untuk model AWD).
Walau bagaimanapun, Volvo XC70 ini berkemungkinan hanya akan dijual pada pasaran China, sama seperti EM90.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.