Kementerian Kewangan mengumumkan bagi minggu bertarikh 22 hingga 28 Mei 2025, harga runcit bagi petrol RON 97 dinaikkan sebanyak 3 sen seliter, menjadi RM3.10 seliter berbanding RM3.07 seliter pada minggu sebelumnya.
Walau bagaimana pun, harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.
Bukan itu sahaja, harga runcit bagi diesel yang dijual di Semenanjung Malaysia juga dinaikkan sebanyak 3 sen seliter iaitu kini RM2.80 seliter berbanding RM2.77 seliter pada minggu sebelumnya. Manakala harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.
Kelmarin, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, kementeriannya telah menyerahkan sepenuh tanggungjawab bagi pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 kepada Kementerian Kewangan (MoF).
“Kini, kami menunggu tindakan selanjutnya daripada Kementerian Kewangan yang akan mengurus keseluruhan proses subsidi RON95 selepas ini. Kita tunggu pengumuman rasmi daripada mereka,” katanya.
Mac lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata, kerajaan akan mengumumkan mekanisme lengkap bagi pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 kepada rakyat selepas separuh pertama tahun ini.
Di mana mekanisme tersebut menggunakan sistem pengenalan diri MyKad dan dua kadar harga. Katanya, pembangunan mekanisme pelaksanaan langkah yang disasarkan dapat mengukuhkan kewangan negara sedang diperhalusi dengan kerajaan tidak mahu mengumumkan sesuatu pelaksanaan dasar secara terburu-buru.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.