Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memperkenalkan rekaan terbaharu Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang dilengkapi ciri-ciri keselamatan dipertingkatkan. Kad LMM terkini itu diedarkan secara berperingkat di seluruh negara bermula hari ini, 21 Mei 2025, laporan The Star.
Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, rekaan LMM versi terkini berupaya mencegah unsur-unsur pengubahsuaian dan pemalsuan kad, serta mempunyai daya tahan penggunaan untuk tempoh maksimum 10 tahun. “Bagi aspek rekaannya, pada bahagian hadapan kad baharu ini menampilkan imej berlatarbelakangkan Bangunan Sultan Abdul Samad bersama motif abstrak gelombang di bahagian hadapan serta Istana Negara dan motif abstrak flora di bahagian belakang,” katanya.
Tambah beliau, pengeluaran kad LLM baharu ini dilakukan secara berperingkat di cawangan-cawangan JPJ tertentu bagi memberi masa kepada tempoh peralihan daripada sistem kad versi sebelumnya kepada versi terkini.
Walau bagaimana pun, selaras dengan pertukaran kepada lesen memandu digital, kad LMM versi baharu ini tidak akan tersedia kepada sesiapa sahaja. Seperti yang berlaku dengan versi sedia ada, salinan fizikal kad LMM baharu akan dihadkan kepada dua jenis pemohon, iaitu warganegara Malaysia yang melancong ke luar negara dan akan memandu di negara asing, dan bukan warganegara.
Aedy Fadly berkata, orang ramai yang memperbaharui lesen seperti kebiasaan hanya akan mendapat versi digital lesen melalui aplikasi MyJPJ.
“Jika anda memperbaharui seperti biasa, anda akan mendapat lesen digital melalui MyJPJ. Tetapi jika pemohon pergi ke luar negara, mereka boleh meminta lesen memandu versi fizikal,” katanya. Difahamkan bahawa bukti perjalanan untuk ke luar negara itu (seperti tiket penerbangan dan lain-lain) adalah salah satu syarat untuk mendapatkan kad LMM fizikal.
“Kita tahu tidak semua negara menerima lesen digital kecuali Singapura yang menerimanya, tetapi ada negara lain yang tidak. Pelancong perlu membawa lesen fizikal bersama permit memandu antarabangsa (IDP), yang boleh dimohon di JPJ. Setiap negara mempunyai peraturan yang berbeza,” tambahnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.