Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan pihaknya telah merangka kertas kabinet yang mencadangkan pindaan terhadap Akta Perlindungan Pengguna 1999 untuk menyertakan peruntukan berkaitan lemon law, yang akan melindungi hak pengguna bagi pembelian berkaitan automotif.
Menurut Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh, kertas berkenaan akan diserahkan untuk kelulusan dasar di peringkat kabinet sebelum pindaan terhada akta berkenaan dilaksanakan. Beliau menambah, kementerian ketika ini sedang mendapatkan maklum balas daripada kementerian dan agensi lain yang berkaitan, termasuk kewangan, ekonomi dah pengangkutan, peguam negara serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Beliau menjelaskan kertas berkenaan adalah susulan selesainya kajian perundangan selama enam bulan yang meneliti keperluan lemon law, yang telah dijalankan dari Jun hingga November tahun lalu.
“Berdasarkan dapatan daripada kajian berkenaan, kementerian menyimpulkan bahawa ada keperluan untuk mewujudkan kerangka perundangan yang khusus seperti lemon law, untuk mengatasi masalah dan keterhadan berkaitan perlindungan pelanggan dalam industri automotif,” jelasnya kepada New Straits Times.
Ujar beliau lagi, memandangkan Akta Perlindungan Pelanggan telah menyediakan kaedah untuk tawaran dan penyelesaian pertikaian yang selari dengan prinsip teras lemon law, kementerian berpandangan adalah lebih baik bagi prinsip perundangan ini disertakan ke dalam pindaan akta tersebut. “Menyertakan semua itu melalui pindaan ke atas akta adalah pendekatan paling praktikal dan berkesan,” tambahnya.
“Ini akan memperkukuhkan peruntukan sedia ada dan mewujudkan peraturan baru yang akan menggariskan prosedur atau kaedah yang lebih terperinci bagi penyelesaian pertikaian, terutama bagi tuntutan pampasan melibatkan kenderaan baru,” jelasnya.
Lemon law adalah satu bentuk perlindungan pelanggan, dan telah banyak gesaan untuk melaksanakannya di sini, sejak dahulu. Ringkasnya, ia mewajibkan kenderaan yang masih dalam tempoh jaminan yang didapati ada masalah atau tidak selamat agar diperbaiki sepenuhnya oleh pengeluar. Sekiranya kenderaan terbabit tidak boleh dibaik pulih selepas beberapa kali percubaan, pembeli boleh ditawarkan pulangan wang atau ganti kenderaan.
Skop perlindungan yang terkandung dalam lemon law adalah berbeza bergantung cara ia dilaksanakan, tetapi secara umumnya ia akan meliputi kerosakan yang memberi kesan ketara kepada fungsi atau keselamatan kenderaan. Negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Singapura dan Filipina telah melaksanakan bentuk-bentuk tertentu lemon law ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.