Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkata pihaknya memandang serius akan peningkatan kes pemilik kenderaan berat yang gagal memperbaharui Lesen Kenderaan Bermotor (LKM/cukai jalan), tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah serta mengabaikan pemeriksaan berkala di Puspakom seperti yang diwajibkan oleh kerajaan.
Muhammad Kifli Ma Hassan, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Malaysia berkata pemilik syarikat kenderaan yang terlibat dan didapati melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan sitaan dan lucut hak kerana gagal mematuhi peraturan di bawah Akta 333 dan Akta 715.
Antara kesalahan yang terbabit di bawah akta berkenaan ialah Lesen Kenderaan Tamat Tempoh di bawah Seksyen 23 (1) Akta Pengangkutan Jalan dengan denda tidak melebihi RM2,000, dan Perakuan Pemeriksaan Berkala Tamat Tempoh di bawah Seksyen 66A (1) Akta Pengangkutan Jalan yang boleh dikenakan denda tidak kurang RM300 dan tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Manakala bagi kesalahan Tiada Perakuan Insurans di bawah Seksyen 90 (1) boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih tiga bulan atau kedua-duanya.
Menurut Muhammad Kifli lagi, pihaknya juga telah diberi tanggungjawab untuk menguatkuasakan Seksyen 58 (1)(a) APAD 2010: Syarat Berkanun Lesen Pengendali iaitu gagal selenggara kenderaan dengan baik boleh digunakan, Seksyen 58 (1)(b) APAD 2010: Syarat Berkanun Lesen Pengendali iaitu gagal memberi keutamaan yang paling tinggi kepada pengguna jalan raya yang lain dan Seksyen 57 (1) APAD 2010: Syarat Permit Lesen Pengendali iaitu tidak mematuhi syarat dalam keperluan tahap perkhidmatan bagi perkhidmatan kenderaan barangan tahun 2024.
“Tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dilaksanakan dan tiada kompromi terhadap pemandu atau pemilik kenderaan berat yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kedah-Kaedah di bawahnyam Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715),” katanya dalam sidang media yang berlangsung di Stesen Penguatkuasaan JPJ Elmina pagi tadi.
Kifli turut mendedahkan bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, sebanyak 365 lori telah disita atas pelbagai kesalahan. Tambahnya, lori ‘tipper’ atau dump truck merupakan jenis lori yang paling banyak disita oleh JPJ sejak tahun 2022 iaitu sebanyak 602 unit daripada keseluruhan 3,061 lori yang dikenakan tindakan sehingga April 2025.
Malah, katanya, pihaknya juga mendapati lori ‘tipper’ paling paling banyak melakukan kesalahan jalan raya, antaranya termasuk membawa muatan berlebihan, cukai jalan tamat tempoh dan gagal menjalani pemeriksaan berkala yang diwajibkan.
“Walau pun pihak kami senantiasa menjalankan pemeriksaan, operasi penguatkuasaan dan pemantauan terhadap kenderaan berat, namun mereka ini (pemandu lori) dilindungi oleh tonto. Bila ada operasi yang dijalankan, mereka sedaya upaya akan mencari jalan untuk melepaskan diri termasuk melarikan diri dari sekatan jalan raya walau pun terpaksa meninggalkan kenderaan berat masing-masing.
“Sebelum meninggalkan kenderaan, pemandu lori ini biasanya akan mematikan GPS atau merosakkan komponen termasuk drive shaft menyebabkan lori tersebut tersadai di tengah jalan dan menghalang lalu lintas. Untuk kesalahan sedemikian, kami akan tambah satu lagi kesalahan di mana pihak JPJ akan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 234 APAD iaitu menghalang atau mengganggu tugas-tugas anggota JPJ dan untuk kesalahgan di bawah seksyen ini adalah sangat serius dan boleh didenda sehingga RM500,000 dan pihak kami akan mengesyorkan kepada pihak APAD untuk membatalkan lesen pihak pengendali,” tegasnya.
Beliau turut memberikan peringatan kepada syarikat lori yang bermasalah, untuk memastikan lori-lori berada dalam keadaan selamat dan mempunyai semua dokumen yang diperlukan semasa berada di atas jalan raya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.