Proton telah umumkan kerjasama strategik dengan Continental Malaysia untuk memperkenalkan perkhidmatan tayar bersepadu di pusat servis Proton yang terpilih di seluruh negara, yang akan menyediakan jualan, pemasangan dan sokongan lepas jualan bagi tayar oleh Continental Malaysia.
Proton mensasarkan untuk mempunyai 60 cawagan di seluruh negara yang menyediakan perkhidmatan tayar kepada pelanggan Proton untuk semua model, dengan pelaksanaan penuh di semua rangkaian akan bermula pada suku kedua 2026. Pelanggan Proton kini boleh membeli tayar dan pemasangannya boleh dilakukan ketika temujanji servis berjadual seperti biasa, dengan harga bermula RM211 untuk sebiji tayar Proton Saga.
Turut disertakan dalam perkhidmatan tayar ini ialah Total Confidence Plan (TCP) oleh Continental, yang merupakan jaminan setahun terhadap kerosakan penggunaan, dengan menawarkan tayar ganti sekiranya berlaku keadaan yang tidak diinginkan, jelas Proton. Selain itu, fleksibeliti bayaran yang lebih meluas juga ditawarkan melalui kemudahan pembiayaan Pinjaman Langsung yang memberikan pilihan kepada pelanggan untuk membayar tayar yang dibeli itu secara ansuran.
“Dengan tumpuan utama Proton sejak beberapa tahun lalu terhadap prestasi jualan dan pelancaran model baru, kami juga banyak melabur dalam perkhidmatan lepas jualan untuk mempertingkatkan pengalaman pelanggan di semua pusat servis kami. Dengan memperkenalkan perkhidmatan menukar tayar ini, ia adalah langkah seterusnya dalam usaha untuk mengubah pusat 3S/4S kami menjadi pusat sehenti lengkap,” jelas CEO Proton Edar, Roslan Abdullah.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.