Pengerusi lembaga eksekutif Porsche, Oliver Blume mengakui sasaran yang ditetapkan oleh syarikatnya pada 2022 yang mahu 80% dari jualan kereta baharunya pada 2030 adalah kenderaan elektrik penuh (EV) adalah tidak realistik.
Blume menyebut perkara itu dalam ucapannya ketika mesyuarat agung tahunan pengeluar kereta sport dari Jerman berkenaan baru-baru, selepas menyatakan kesukaran yang dihadapi Porsche tahun lalu yang menyaksikan jualannya menurun kepada hanya 310,718 unit pada 2024 berbanding 320,221 unit dijual pada 2023 (jatuh 3%).
“Tahun lalu, kami sudah pun menghadapi angin kencang yang besar. Sekarang kami sedang mengalami ribut yang kuat. Tetapi kedudukan kami untuk mengharungi ribut tersebut adalah kukuh. Keadaan ekonomi dan geopolitik keseluruhan adalah sangat dinamik dan sangat tidak menentu. Dan lebih sukar untuk dikira berbanding sebelum ini,” katanya.
“Peningkatan mobiliti elektrik telah menjadi perlahan. Pasaran kami di China telah runtuh secara literal. Selain itu, konflik perdagangan dan rantaian bekalan yang tidak stabil meningkatkan kos. Kami telah meningkatkan peraturan serantau. Dan perbelanjaan yang tinggi untuk unit rangkaian kuasa yang fleksibel dan produk yang kini sedang mengalami transformasi. Di samping itu, tarif import AS kini membebankan perniagaan – begitu juga dengan ketidakpastian yang berterusan,” katanya.
Momentum kelembapan jualan masih lagi berterusan pada 2025, di mana Porsche telah mengumumkan pada April lalu sebanyak 71,470 unit kenderaan telah dijual pada tiga bulan pertama tahun ini, atau turun 8% dari 77,640 unit yang dicatatkan pada tempoh sama 2024.
Jualan bagi model produksi pertama EV Porsche iaitu Taycan turut jatuh. Pada tahun pertama model itu dijual iaitu pada 2020, sebanyak 20,015 unit telah berjaya dijual, dan meningkat kepada 41,296 pada 2021. EV terus menujukkan jualan yang baik pada 2022 (34,801 unit) dan 2023 (40,629 unit), tetapi ia jatuh mendadak pada 2024 dengan hanya 20,836 terjual. Pada suku pertama 2025, jualan Taycan mencatatkan sebanyak 4,203 unit) jatuh 1% berbanding tempoh sama 2024.
Bagi mengelakkan jualan Porsche terus jatuh dalam situasi tidak menentu ini, Blume menyatakan bahawa Porsche akan mengambil “pendekatan yang seimbang” yang akan terus menyaksikan ia mengejar startegi elektrifikasi dalam masa yang sama “memperluaskan barisan enjin pembakaran dalaman dan hibrid dengan model-model tambahan.”
“Sudah tentu, ini memberi kesan kepada peningkatan BEV secara keseluruhan. Matlamat kami adalah untuk menjual lebih daripada 80% kereta sport elektrik sepenuhnya menjelang 2030. Salah satu matlamat paling bercita-cita tinggi dalam keseluruhan industri. Strategi produk kami masih membolehkan kami mencapai ini. Dalam sudut pandang perkembangan pasaran, ia tidak realistik. Oleh itu, peningkatan BEV kami akan menyesuaikan permintaan dan pembangunan pasaran secara fleksibel. Untuk permintaan dan pembangunan pasaran,” kata Blume
“Pada 2024, 27% daripada kenderaan yang kami jual telah menerima elektrifikasi. Ini bermakna kenderaan elektrik atau hibrid plug-in. Bahagian BEV tulen adalah sekitar 13%. Pada suku pertama 2025, 38% telah diberikan elektrifikasi. Daripada jumlah ini, hampir 26% adalah elektrik penuh,” sambungnya, sambil menambah bahawa Macan Electric terbaharu telah menyumbangkan hasil memberangsangkan, dengan sebanyak 18,278 telah terjual pada 2024 dan 14,185 unit terjual hanya dalam suku pertama tahun ini.
Bagi perancangan model akan datang pula, Blume mengesahkan model-model empat-pintu seperti Cayenne dan Panamera akan terus ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa enjin pembakaran dalaman serta hibrid sehingga 2030 ke atas. Bagi Cayenne generasi keempat yang akan diperkenalkan nanti, ia akan terus ditawarkan dalam versi EV dan juga enjin pembakaran dalaman sama seperti barisan model Macan.
Blume turut membayangkan Porsche bakal memperkenalkan satu lagi siri SUV yang bakal masuk ke pasaran menjelang akhir dekad ini, juga dengan pilihan enjin pembakaran dalaman dan juga hibrid. Namun Porsche masih akan menawarkan model EV di mana ia bakal memperkenalkan versi EV dalam segmen 718.
“Walau bagaimanapun, peralihan adalah lebih perlahan daripada yang dirancang pada asalnya. Itulah sebabnya kami sekali lagi menganalisis aktiviti bateri kami dengan teliti. Dan bertindak balas secara konsisten dan tegas. Seperti yang anda ketahui, kami telah merancang untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran kami untuk sel bateri berprestasi tinggi dengan Cellforce Group. Kami tidak akan meneruskan rancangan ini secara bebas. Ini kerana jumlah jualan yang dijangkakan telah berkurangan dengan ketara,” jelas Blume.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.