Cadangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ untuk menggantung dan membatalkan lesen syarikat kenderaan berat yang melanggar undang-undang perlu dan wajar dilaksanakan, ujar Persatuan Pengusaha-Pengusaha Lori Tipper Malaysia.
Menurut pengerusinya, Datuk Michael Loo Leep Chye, peningkatan kes kenderaan berat yang tidak mempunyai cukai jalan, insurans dan menggunakan pemandu warga asing sebagai masalah lama yang semakin membarah, laporan Harian Metro.
“Kami tidak bersetuju pengusaha menggajikan pemandu warga asing, lebih-lebih lagi tanpa lesen sah. Ia bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah mengancam keselamatan pengguna jalan raya,” katanya sambil menambah ahli persatuan dilarang menggaji warga asing sebagai pemandu lori kerana ia menyalahi undang-undang.
Tambahnya, “Jika mereka cabar undang-undang, mereka tidak layak jadi ahli persatuan ini. Tindakan tegas perlu diambil terhadap syarikat dan individu terbabit. Syarikat sebegini biasanya terlibat dalam pengangkutan bahan galian seperti pasir, batu dan tanah,” katanya.
Michael turut berkata, antara punca utama pengusaha tidak memperbaharui cukai jalan dan insurans ialah bebanan kos operasi yang tinggi.
“Kos cukai jalan dan insurans dibayar penuh untuk setahun, tetapi operasi hanya berjalan beberapa hari setiap bulan, belum masuk cuti umum dan sekatan permit doket bahan galian,” katanya yang dalam masa sama turut menegur isu penyelarasan undang-undang antara JPJ, JKR dan Kementerian Kerja Raya (KKR) berhubung muatan maksimum atau BDM (Berat Dengan Muatan).
Menurutnya, JPJ dan persatuan sudah bersetuju dengan BDM tambah tolak 10% untuk lori tipper, tetapi dalam masa sama, ada pula pengusaha yang dapat kelulusan BDM lebih tinggi.
“Di sini berlaku double standard yang sangat mengelirukan. Pengusaha tipper berdepan dilema apabila berat lori tidak sepadan dengan doket yang dibayar. Akibatnya, mereka terpaksa terlebih muatan atau menanggung kerugian.
“Sebagai contoh, lori 10 tayar dengan BDM 24 tan, jika tolak berat lori 11 tan, hanya boleh bawa 13 tan. Tapi doket yang dikeluarkan adalah untuk 20 tan,” katanya yang berharap kerajaan meneliti isu penyelarasan undang-undang ini agar keadilan dapat diberikan kepada semua pihak.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan satu prosedur operasi standard (SOP) komprehensif dibangunkan Kementerian Pengangkutan Malaysia dengan penglibatan semua pihak termasuk pengusaha lori.
“Kami sedia menyumbangkan idea agar dapat dimasukkan dalam pelaksanaan undang-undang atau SOP baharu,” katanya.
Menurutnya, semua pemandu lori wajar diwajibkan menghadiri kursus keselamatan jalan raya bagi meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab terhadap keselamatan awam.
Minggu lalu, JPJ mendedahkan bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, sebanyak 365 lori telah disita atas pelbagai kesalahan. Di mana lori tipper atau dump truck merupakan jenis lori yang paling banyak disita oleh JPJ sejak tahun 2022 iaitu sebanyak 602 unit daripada keseluruhan 3,061 lori yang dikenakan tindakan sehingga April 2025.
Malah JPJ turut mendedahkan 15 syarikat dicadangkan untuk pembatalan lesen dan 513 lagi digantung operasinya, selain amaran terhadap 28 syarikat lain susulan peningkatan kes kemalangan membabitkan kenderaan berat.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.