Kembar Proton eMas 7 di pasaran China iaitu Geely Galaxy E5 bakal menerima varian dengan bateri berkapasiti lebih besar bagi memberikan jarak gerak lebih jauh tidak lama lagi. Perincian bagi versi berkenaan telah pun didedahkan di dalam laman web rasmi Kementerian Industri dan Teknologi Informasi (MIIT) China dan dilaporkan oleh portal CarNewsChina.
Varian baharu tersebut akan dibekalkan dengan pek bateri 68.39 kWj bagi memberikan jarak perjalanan sejauh 610 km dalam kitaran ujian CLTC. Buat masa sekarang Galaxy E5 datang dalam dua varian bateri iaitu 49.52-kWj bagi memberikan jarak perjalanan sejauh 440 km CLTC dan juga 60.22 kWj untuk jarak gerak sejauh 530 km CLTC. Proton eMas 7 di Malaysia yang datang dengan dua varian juga menerima pek bateri sama menawarkan jarak gerak sejauh 345 km dan 410 km dalam kitaran ujian WLTP yang lebih tepat.
Namun versi dengan bateri lebih besar ini masih akan menampilkan konfigurasi motor elektrik yang sama iaitu motor tunggal memacu roda hadapan berkuasa 218 PS dan tork maksima 320 Nm. Sistem pengecas AC dan DC terus ditawarkan untuk varian baharu ini namun spesifikasinya belum diumum. Manakala sistem Vehicle-to-load (V2L) terus diberikan dengan kapasiti 3.3 kW. Rupa luaran varian baharu ini nampknya masih lagi sama tanpa sebarang perubahan.
Dengan pengenalan varian baharu pada Geely Galaxy E5 (juga dikenali sebagai Geely EX5 pada pasaran eksport lain), mungkin Proton juga akan menawarkan eMas 7 dengan pilihan bateri lebih besar dan jarak gerak lebih jauh (Long Range atau LR)?
Buat masa sekarang Proton eMas 7 masih lagi merupakan model EV paling laris di Malaysia. Varian asas EV ini dikenali sebagai eMas 7 Prime dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM109,800, manakala varian tertinggi eMas 7 Premium dijual pada harga RM123,800.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.