Dalam perkembangan terbaru, kerajaan mengumumkan tidak akan berlaku kenaikan harga bagi RON 95 sebagai sebahagian daripada rancangan penyelarasan semula subsidi bahan api itu, yang sebelum ini dijangka bermula pada pertengahan 2025.
Kerajaan memberi jaminan yang harga bagi petrol RON 95 tidak akan dinaikkan, walaupun perkara itu telah dibincangkan oleh kabinet, lapor Sinar Harian. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ada desakan agar harga RON 95 dinaikkan, tetapi beliau tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
“Sesetengah pihak meminta untuk menaikkan harga bahap api itu bagi rakyat kebanyakan. Tetapi, saya tidak bersetuju. Sekiranya perkara itu akan dilakukan, pelarasan (subsidi) RON 95 perlu dikurangkan sedikit demi sedikit mengikut harga pasaran semasa,” jelas PM dalam ucapan penggulungan persidangan parti sebagai Presiden PKR di Johor.
Bagaimanapun, warga asing akan membayar harga yang lebih tinggi. “Warga asing menikmati sekitar RM3-4 bilion dalam bentuk subsidi. Mungkin selepas ini, untuk membeli RON 95, orang ramai perlu menunjukkan kad pengenalan,” jelas Anwar dengan menekankan bahawa harga minyak di pam bagi sekitar empat juta warga asing di Malaysia perlu dinaikkan.
Adakah PM sedang mengelak daripada penyelarasan subsidi minyak RON 95 ini, yang sudah dibincangkan dan diumumkan sejak tahun lalu? Minggu lalu, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli memaklumkan bahawa perkara tersebut telah diserahkan kepada Kementerian Kewangan, yang diketuai oleh PM, dan menyatakan bahawa tanggungjawab terhadap perkara itu kini bukan lagi di bawah kementeriannya.
“Ini adalah keputusan kabinet. Dari pihak Kementerian Ekonomi, kami telah membawakan perkara ini ke dalam kabinet sebanyak empat kali, dan ketika ini hanya menunggu tindakan daripada Kementerian Kewangan. Mereka akan menguruskan semua proses berkaintan subsidi RON 95 selepas ini. Kita perlu menunggu pengumuman lanjut mereka. Adalah lebih baik untuk mendapatkan perincian lanjut daripada mereka,” jelas Rafizi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.