Produksi bagi model Aletra L8 kini telah mula dikeluarkan oleh PT Handal Indonesia Motor di kilangnya yang terletak di Purwakarta, Jawa Barat. Syarikat itu menjelaskan ia komited untuk mencapai kandungan tempatan lebih 40% dalam beberapa tahun ke depan, selari dengan polisi yang digariskan kerajaannya.
Menurut Autonetmagz, kerja-kerja R&D yang dilakukan oleh Aletra termasuk untuk menukar sisi pemanduan dari kira ke kanan, serta beberapa perubahan lain di bahagian dalaman dan luarannya bagi memastikan model L8 ini — yang menggunakan asas dari Livan Maple 80V L, yang sebetulnya adalah mode EV untuk Geely Jiaji — menepati selera dan keperluan pengguna Indonesia. Purwakarta menjadi satu-satunya lokasi yang mengeluarkan L8 pemanduan sebelah kanan (RHD). Ada juga rancangan untuk mengeksport EV berkenaan ke pasaran RHD lain di Asia Pasifik.
Dilancarkan pada November 2024, L8 merupakan produk pertama daripada jenama Indonesia Aletra ini, yang dimiliki oleh PT Sinar Armada Globalindo (PT SAG). Rakan niaga syarikat ini ialah Livan Automotive, yang merupakan hasil daripada penggabungan antara Shanghai Maple milik Geely dan Lifan Technology, dan merupakan usaha sama antara Lifan Group dan Geely Qizheng (dimiliki Zhejiang Geely Holding).
Antara perubahan yang dilakukan terhadap L8 untuk pasaran Indonesia ini termasuklah pendingin dengan kompresor berkembar yang dipertingkat, rekaan rim 18-inci baru dan sedikit perubahan wajah depan.
Ada tujuh tempat duduk tersedia dengan tataletak 2-2-3, model ini mempunyai dimensi ukuran 4,812 mm panjang (-14 mm berbanding Jiaji L), 1,909 mm lebar dan 1,699 mm tinggi, dengan jarak roda 2,807 mm. Jarak kelegaan tanah ialah 160 mm, yang sama dengan Jiaji, tetapi keluasan ruang barangan 459 liter yang ada kurang berbanding Jiaji (513 liter) — mungkin disebabkan kedudukan bateri untuk versi EV. Suspensi depan dari jenis MacPherson strut dan belakang dengan jenis multi-link.
Varian paling asas L8 menggunakan bateri LFP 50.4 kWh dengan jarak 431 km CLTC, sementara varian paling tinggi dengan bateri 64.74 kWh bilah pendek untuk jarak 540 km CLTC. Kedua-dua varian dilengkapi motor 163 PS/240 Nm yang sama, membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 10.7 saat untuk mencapai laju maksimum 160 km/j.
Kelengkapan lain termasuklah bumbung panoramik, pengilap automatik, peninjau titik buta, panel instrumen LCD penuh TFT tujuh-inci, pengecas tanpa wayar 50w, lampu ambient 72-warna, kerusi depan larasan enam-arah serta skrin sentuh 12.4-inci dengan AACP tanpa wayar. Turut ada ialah empat beg udara dan kawalan kestabilan, namun ADAS tidak disebut.
Aletra L8 dijual dengan harga Rp 468 juta (RM121,457).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.