Sebagai sebahagian daripada usaha mencegah tragedi jalan raya berulang, kerajaan negeri Melaka berkata pihaknya akan meningkatkan tahap lampu jalan di kawasan yang kerap berlaku kemalangan, terutamanya di luar bandar, laporan Bernama.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pihak berkuasa tempatan sedang mengenal pasti lokasi yang memerlukan lampu jalan dengan segera, dan langkah akan diambil untuk menangani isu tersebut. Beliau berkata statistik Jabatan Siasatan Trafik dan Penguatkuasaan Polis negeri mendapati 68 kemalangan maut dan 7,871 kes kemalangan jalan raya direkodkan dari Januari hingga April tahun ini.
Walau bagaimana pun, kerajaan negeri memerlukan belanjawan yang lebih besar daripada yang sedia ada untuk menambah baik lampu jalan. Bulan lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata kerajaan negeri memerlukan kira-kira RM25 juta untuk menangani isu itu, tetapi hanya mempunyai peruntukan sekitar RM3.5 juta untuk tahun ini, dengan RM3 juta daripadanya daripada kerajaan persekutuan.
Tambahnya, Melaka turut menerima peruntukan sebanyak RM1.7 juta di bawah Maklumat Rekod Jalan Malaysia (Marris) untuk pemasangan lampu jalan di kawasan kampung tahun ini, dengan daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin menerima masinhg-masing sejumlah RM500,000, manakala RM200,000 akan disalurkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri.
“Jumlah itu masih belum mencukupi bagi menyelesaikan masalah lampu jalan di jalan negeri, kerana ia tidak termasuk jalan kampung,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.